Followers

Sunday, June 7, 2015

Usul Dewan Ulama tak jejas PAS Selangor

Walaupun kerajaan Pulau Pinang meminta supaya ahli PAS melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri, namun perkara itu tidak akan terjadi di Selangor.

Exco Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad memberi jaminan pentadbiran negeri itu akan berjalan seperti biasa memandangkan perkara yang dibawa oleh Dewan Ulama hanya sekadar usul dan ia belum diputuskan oleh Majlis Syura.

"Selangor akan berjalan seperti biasa. Seperti saya katakan, usul itu hanya dibawa untuk dibincang di peringkat lebih atas, Jadi tak bermakna usul itu diterima. Sebab ada juga usul yang tak dilaksanakan.

"Maknanya usul itu telah diluluskan untuk dibawa perbincangan," katanya yang baru saja memenangi jawatan Naib Presiden PAS dalam muktamar kali ini.

Iskandar yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor menyatakan, di Selangor tidak sebarang masalah dihadapi ekoran usul dibawa - dan tidak dibahaskan - oleh Dewan Ulama semalam.

Bercakap kepada media selepas muktamar di Kuala Selangor itu berakhir, Iskandar berkata, kerja pemimpin PAS akan diteruskan seperti biasa di Selangor.

"Kita akan teruskan kerja kita sebab ada tanggungjawab kepada rakyat. Rakyat dah pilih kita atas nama Pakatan Rakyat, bermakna kalau kita berhenti atau membiarkan isu ini, ia akan mengganggu kita dan harapan rakyat telah kita khianati," katanya.

Terdahulu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan meminta ahli PAS yang mendapat tempat dalam agensi kerajaan negeri supaya meletakkan jawatan.

Kata Lim, walaupun beliau tidak menghadapi masalah bekerja dengan sebahagian daripada ahli PAS, peletakan jawatan itu wajar kerana berkaitan dengan usul yang diluluskan tanpa bahas oleh muktamar.

Malah, bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu juga berhasrat untuk melepaskan semua jawatannya dalam kerajaan Pulau Pinang minggu ini ekoran keputusan muktamar memutuskan hubungan dengan DAP.
 
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.