Followers

Sunday, June 7, 2015

PAS tanggung akibat usul putus hubungan dengan DAP OLEH SHERIDAN MAHAVERA

Zack Ahmad's photo.
  Barisan kepimpinan baharu PAS bergambar pada hari terakhir Muktamar Tahunan ke-61 di Kuala Selangor, semalam.

Pemimpin PAS Selangor khususnya, bertungkus-lumus memberi amaran kepada pucuk pimpinan parti agar tidak meneruskan usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP, yang diluluskan muktamar parti itu tanpa bahas, menimbulkan kemarahan beberapa perwakilan.


Akibat daripada usul itu mula dirasai apabila Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata beliau sedia menerima peletakan jawatan wakil PAS dalam kerajaan negeri dan agensinya dengan segera tanpa sebarang soalan.

Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata, beliau percaya mereka "tiada pilihan lain kecuali meletakkan jawatan" selepas usul itu diluluskan kerana "suatu yang tidak dapat dipertahankan daripada segi politik" bagi mereka untuk kekal dalam kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuainya.
Pemimpin PAS kemudiannya dengan segera cuba memperbetulkan keadaan.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, usul itu walaupun diterima pakai, bukan satu keputusan muktamad dan masih perlu diputuskan oleh Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat.

Tetapi, pemimpin PAS Selangor bimbang jika parti itu meneruskan hasrat Dewan Ulama yang konservatif melaksanakan usul itu, kerajaan negeri akan jatuh.

PAS mempunyai 15 daripada 43 kerusi Pakatan Rakyat (PR) dalam Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 56 kerusi itu dan 3 wakil rakyat yang menjadi exco kerajaan negeri.

Apa yang terjadi merupakan isyarat tidak baik bagaimana barisan kepimpinan konservatif yang baharu mahu menguruskan PAS dan bagaimana ia berfungsi dalam pakatan pembangkang PR.

Isyarat pertama akibat retorik parti itu ialah apabila bekas timbalan presidennya, Mohamad Sabu berkata beliau akan melepaskan semua jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang.

Beliau juga menyindir kepimpinan parti dan usul menolak DAP itu, mengatakan PAS pasti boleh hidup sendiri.

Pengumuman itu dibuatnya sebaik muktamar di Kuala Selangor itu menyedari kenyataan dibuat Lim semalam mengenai wakil PAS dalam kerajaan negeri itu.

Selepas ucapan Mohamad, pemimpin PAS Selangor Sallehin Mukhyi membuat ucapan yang penuh perasaan bagaimana parti itu selama ini bekerjasama rapat dengan DAP dan PKR dalam kerajaan negeri, yang digambarkan sebagai model pentadbiran PR di Malaysia satu hari nanti.

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad, juga bersungguh-sungguh meyakinkan media selepas muktamar itu yang mereka di Selangor akan bekerja seperti biasa dan PAS tidak berhasrat meninggalkan pentadbiran negeri.

"Usul itu bukan pendirian muktamad PAS. Saya tahu kepimpinan kita adil dan akan mendengar semua pandangan dan saya akan memberitahu mereka bagaimana baiknya kerjasama dalam kerajaan negeri Selangor," katanya yang baru dipilih sebagai naib presiden itu.

Usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP itu diluluskan sayap ulama parti pada Rabu. Ia sebagai tindak balas kepada keputusan DAP pada Mac memutuskan hubungan dengan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan menentang hudud di bawah Enakmen Syariah Kelantan.

Usul itu kemudiannya diluluskan tanpa bahas pada muktamar utama, satu keputusan yang dibuat pemimpin kanan tetapi dikritik hebat perwakilan.

Ini kerana ia memberi gambaran semua ahli PAS di akar umbi juga bersetuju dengannya.
Sesetengah ulama yang bersetuju dengan usul itu dan cenderung berperang dengan DAP bungkam apabila ditanya mengenai implikasinya, terutama berhubung kenyataan kerajaan negeri Pulau Pinang itu.

"Saya serahkan kepada Majlis Syura untuk memutuskannya," kata Nasrudin Hassan, pemimpin Dewan Ulama, ketika ditemui pemberita selepas muktamar itu.

Nasrudin pada Jumaat membuat ucapan berapi-api tentang bagaimana usul itu merupakan "satu tamparan di muka" untuk DAP.

Mereka yang lain terkejut dengan kenyataan Lim.

Ketua Dewan Ulama Datuk Mahfodz Mohamad mengecam ketua menteri Pulau Pinang itu kerana terburu-buru menjangkakan wakil PAS dalam kerajaan negeri akan meletak jawatan.

Tetapi, pemimpin DAP Selangor Charles Santiago membidas mereka, mengatakan kepimpinan baharu PAS sebenarnya tidak berfikir masak-masak apabila memaksa muktamar itu menerima usul itu.

"Itu bukan caranya menguruskan hubungan, dan kini ia menyerang mereka kembali," katanya, sambil menambah, ia isyarat bagaimana golongan konservatif mahu menguruskan parti itu.

"Jika ini yang mereka mahu, maka semua ahli PAS perlu meletakkan jawatan masing-masing di Selangor. Anda tidak boleh nak bolot semua,” katanya. – 7 Jun, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/…/pas-tanggung-akibat-us…

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.