Followers

Wednesday, June 24, 2015

Seorang lagi wanita diarah tutup LUTUT, kali ini di Hospital Sg Buloh

 
 Seorang lagi wanita diarah tutup LUTUT, kali ini di Hospital Sg BulohPengawal keselamatan di Hospital Sungai Buloh dilaporkan menahan seorang wanita berseluar pendek dan hanya membenarkannya masuk ke dalam bangunan selepas memakai tuala yang membaluti pinggang hingga kakinya.

Bagaimanapun, pengarah hospital itu mengambil tindakan pantas dengan mengeluarkan permohonan maaf dan berkata ia bukan polisi hospital atau Kementerian Kesihatan untuk menghalang pelawat memasuki bangunan berdasarkan kepada pakaian mereka, lapor Star Online.

Ini adalah insiden ketiga membabitkan pelaksanaan kod etika berpakaian di bangunan kerajaan.

Wanita terbabit memaklumkan mengenai insiden itu di akaun Facebooknya dan dilaporkan oleh The Star Online.

Dalam kejadian itu, bapa wanita itu dikatakan terpaksa naik ke wad untuk meminjam tuala daripada pesakit bagi membolehkan anaknya menutup kaki.

“Ketika saya tiba di pintu pagar pelawat, ada beberapa pengawal keselamatan menahan saya dan berkata ‘awak tidak boleh masuk kerana pakai seluar pendek’.

“Pengawal keselamatan itu kata ‘ini arahan Kementerian Kesihatan’,” katanya di Facebook.

Tetapi pengarah hospital itu, Dr Khalid Ibrahim mohon maaf, berkata insiden itu tidak sepatutnya berlaku.

“Kita tidak larang mana-mana pelawat masuk ke hospital hanya kerana apa yang mereka pakai.
“Tetapi, kami menggalakkan orang awam untuk berpakaian sopan ketika melawat pesakit,” katanya dipetik daripada The Star Online.

Beliau berkata, mungkin pengawal keselamatan terbabit salah faham mengenai kod etika berpakaian, dan aduan sudah dibuat kepada syarikat keselamatan berkenaan.

Kejadian ini susulan episod wanita memakai skirt pendek atas lutut diberikan kain sarung dipakai untuk menutup kakinya oleh pengawal keselamatan di pejabat agensi kerajaan.

Insiden pertama ialah di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Gombak pada awal bulan ini, apabila seorang wanita yang berpakaian singkat di atas lutut diminta memakai sarung sebelum boleh mendapatkan perkhidmatan di kaunter kakitangan JPJ.

Semalam, 2 wanita termasuk wartawan dan seorang penduduk Selangor terpaksa memakai kain sarung untuk masuk ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Kod etika berpakaian di semua tempat awam ini melarang baju tanpa lengan serta seluar dan skirt pendek. – TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.