Followers

Friday, June 19, 2015

Selepas pengampunan aktivis, bekas MB seru mahkamah pulangkan denda

 
Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata wang denda yang dibayar 11 aktivis yang dibebaskan menerusi pengampunan diraja semalam perlu dipulangkan kerana mereka dari golongan susah. – Gambar fail The Malaysian Insider, 19 Jun, 2015.
 
Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata wang denda yang dibayar 11 aktivis yang dibebaskan menerusi pengampunan diraja semalam perlu dipulangkan kerana mereka dari golongan susah. 
Mahkamah perlu memulangkan semula bayaran denda RM5,000 yang dikenakan terhadap 11 aktivis rampasan kuasa Perak selepas mereka mendapat pengampunan diraja dan dibebaskan malam tadi, kata Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Bekas menteri besar yang kini ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu berkata, bayaran denda itu wajar dipulangkan semula kerana mereka terdiri daripada golongan yang tiada berpendapatan tetap dan bergaji rendah.

"Memandangkan mereka sudah diampuni, mohon supaya denda yang telah dibayar dipulangkan balik kepada mereka kerana rata-rata mereka adalah dari kalangan yang tiada berpendapatan tetap dan bergaji rendah," katanya dalam kenyatan hari ini.


Setiausaha Lembaga Pengampunan Perak Datuk Razali Othman dalam kenyataan semalam berkata, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah memberikan pengampunan untuk 11 individu berkenaan selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Katanya, dalam mesyuarat pada 5 Mei lalu iaitu sehari sebelum pertabalan Sultan Nazrin, hanya seorang daripada 12 penunjuk perasaan menerima pengampunan apabila mengemukakan permohonan terus dan bukannya melalui pihak ketiga.

Kumpulan 11 aktivis yang dibebaskan dari penjara malam semalam susulan pengampunan diraja. – Gambar The Malaysian Insider, 19 Jun, 2015.Kumpulan 11 aktivis yang dibebaskan dari penjara malam semalam susulan pengampunan diraja. – Gambar The Malaysian Insider, 19 Jun, 2015.
Nizar, yang juga Adun Pasir Panjang berkata, pihaknya menghargai tindakan baginda dan mempertahankan aktivis tersebut bukan mahu menderhaka kepada sultan sebaliknya mahu menegakkan keadilan dan demokrasi di Perak.

Katanya, mereka bukannya penjenayah biasa tetapi orang yang wajar disanjung tinggi kerana sudi korban diri dan berjiwa sayangkan rakyat untuk wujudkan negeri yang adil dan berlandaskan demokrasi. 

Katanya, hak dan kehendak rakyat untuk memilih kerajaan negeri Perak secara demokrasi hendaklah dihormati pada setiap masa.

"Kami menjunjung kasih Kebawah Duli Tuanku Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di atas pembebasan tersebut dan merasa bersyukur semua OKZ tersebut dapat kembali ke pangkuan keluarga mereka. 

"Semoga dengan pembebasan ini sebagai satu yang cukup bermakna juga kepada seluruh rakyat Perak dan memartabatkan Institusi DiRaja Negeri Perak," katanya.

Pada 18 Mac lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM5,000 setiap seorang. 

Seramai 13 orang ditahan ekoran demonstrasi di luar Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar, Perak, pada Februari 2009 semasa majlis mengangkat sumpah menteri besar baru Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir daripada Barisan Nasional di hadapan Sultan Perak.

Seorang warga Indonesia dihantar pulang ke negaranya selepas dibebaskan, manakala Mohamad Nazeer Hameed, 49, adalah satu-satunya aktivis yang mendapat pengampunan diraja sempena pertabalan Sultan Nazrin pada 6 Mei lalu. – 19 Jun, 2015.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.