Followers

Saturday, June 20, 2015

Pemuda PAS puji Azmin

 
 
Pemuda PAS hari ini berkata, walaupun Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengisytiharkan Pakatan Rakyat sudah berakhir namun Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali masih lagi berkongsi pendirian yang sama dengan PAS.

Menurut Naib Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin (gambar), beliau memuji sikap Azmin yang juga timbalan presiden PKR itu kerana mengambil pendirian bahawa Pakatan masih wujud walaupun DAP berpendapat sebaliknya.

"Kenyataan Lim sejurus selepas mesyuarat jawatankuasa parti berkenaan harus merujuk kepada kenyataan bercanggan (oleh) Azmin yang masih rasional mempertimbangkan situasi yang berlaku.

"Beliau (Azmin) masih optimis dengan kerjasama Pakatan di Selangor dan menolak pilihan untuk membubarkan DUN," katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Malah, Khairil berkata, tindakan DAP sebelum ini yang memulakan "permainan" dengan menyerang PAS dan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi punca dewan ulama parti itu membuat usul tergempar bagi memutuskan hubungan dengan DAP.

Tindakan melampau

Katanya, dalam "permainan" itu DAP dilihat terlalu gopoh dan terburu-buru menyerang PAS yang akhirnya mematikan Pakatan.

"DAP secara konsisten menyerang hampir setiap hari dan mencampuri urusan dalaman pemilihan PAS menjelang muktamar PAS.

"Tindakan melampau DAP inilah yang memaksa Dewan Ulama PAS membuat reaksi dan mengemukakan usul tergempar bagi memutuskan hubungan dengan DAP dan kekal di dalam Pakatan. Bagaimanapun ia dengan syarat mendapat persetujuan Majlis Syura Ulama PAS.

"Dalam sandiwara ini, DAP dilihat terlalu ofensif, gopoh dan terburu-buru menyerang PAS. Mereka sendiri yang memulakan game ini dan mereka sendiri yang akhirnya mematikan Pakatan Rakyat," katanya lagi.

Selasa lalu, DAP mengumumkan bahwa Pakatan sudah tidak wujud lagi ekoran keputusan muktamar PAS yang meluluskan usul untuk memutuskan hubungan dan kerjasama politik bersama DAP,

Usul yang lulus tanpa bahas pada muktamar awal bulan ini bagaimanapun masih lagi belum diputuskan memandangkan ia perlu dibincangkan oleh Majlis Syura Ulama PAS.
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.