Followers

Monday, June 22, 2015

Pemimpin Kebal Di Malaysia ?


Senarai mereka yang ‘kebal’ di Malaysia oleh Mariam Mokhtar Pertelingkahan terbuka antara Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, atau lebih dikenali dengan panggilan TMJ, dengan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Nazri Aziz telah menunjukkan, betapa wujud dua undang-undang di bawah Umno baru.

Satu untuk rakyat biasa, dan satu lagi untuk menteri Umno Baru. Ironinya, ia memerlukan seorang putera untuk memaksa menteri mengakui hal itu. Najib Razak patut mengarahkan menterinya untuk berhenti menambahkan ketegangan antara institusi diraja dan menteri.

Tanpa mengira siapa yang betul atau salah, tidak wajar untuk seorang menteri berkelakuan begitu. Nazri berkelakuan seperti penjual ikan di pasar dengan bertukar kata-kata kesat.

Ada juga yang mengatakan beliau seperti gangster. Kebisuan Najib mencerminkan kepimpinannya yang teruk, dan meningkatkan permusuhan dan kewujudan bersama yang rapuh antara rakyat, menteri dan kerabat diraja.

TMJ tidak berlapik apabila mengkritik Nazri di media sosial dan berkata, “Anda seorang menteri, bukannya Tuhan yang tidak boleh ditegur. Jangan fikir rakyat negara ini wujud untuk memberikan anda jawatan dan kekayaan, tetapi jawatan tersebut wujud supaya anda memberikan khidmat kepada rakyat.”

Tunku IsmailTunku Ismail Putera itu mahu mengingatkan politikus tentang peranan dan tanggungjawab mereka dan berkata, “…

Sekiranya perkara seperti itu pun anda tak boleh terima, jelaslah kepada seluruh rakyat betapa angkuh dan sombongnya anda.” “Saya membayangkan masa depan di mana setiap orang ada hak menyuarakan pendapat masing-masing. Namun keadaan Malaysia hari ini tidaklah begitu, menteri-menteri pantang ditegur,” katanya lagi.

TMJ benar. Menteri di Malaysia “pantang ditegur”. Menteri tidak akan buat salah. Mereka tidak tertakluk kepada undang-undang seperti rakyat lain. Menteri dan kroni mereka terlepas daripada apa-apa hukuman.

Setiap keputusan mahkamah seakan berpihak kepada mereka, dengan denda minimum.

Berikut mungkin individu kebal paling dikenali di Malaysia: Dr Mahathir Mohamad mungkin bersuara tentang korupsi Najib dan hubungannya dengan Altantuya, tetapi senarai kesalahan Mahathir sendiri adalah panjang, kalau pun tidak lebih panjang daripada Najib.

Dasar monopoli dalam industri utama di Malaysia daripada padi kepada tenaga, pengangkutan kepada telekomunikasi membuktikannya. Apabila ada masalah, seperti apa yang berlaku dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), tiada siapa yang didapati bersalah. Mahathir menafikan yang beliau mengarahkan penahanan dalam Operasi Lalang, dan menjarakkan diri daripada Projek IC.

Beliau mengalihkan kesalahan berhubung kehilangan kuasa kehakiman kepada nenda TMJ. Rakyat Malaysia yang menganggap Mahathir sebagai wira yang memperjuangkan rakyat gagal melihat yang beliau ada agenda tersembunyi.

Merentasi Laut China Selatan, Gabenor Sarawak Taib Mahmud adalah orang kebal paling terkenal di Malaysia Timur.

Di sebalik pelbagai pendedahan oleh Bruno Manser Fund dan Sarawak Report, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemui apa-apa bukti konkrit ke atas Taib.

Mahkamah Syariah sukar menyabitkan anaknya, Bekir, kerana curang dan enggan membayar alimoni kepada isterinya. Nampaknya kekebalan boleh diwarisi. Peranan Najib dalam rampasan kuasa kerajaan Perak pada 2009 adalah satu tindakan khianat.

Tetapi kerana kekebalan Najib, tiada mahkamah yang boleh, dan akan menjatuhkan hukuman bersalah.

Turut membantu apabila Najib dan timbalannya menutup sebelah mata terhadap salah laku dalam kerajaan. Apa yang penting adalah kemenangan dan survival Umno Baru.

Di sebalik kenyataan bertentangan tentang 1MDB, Najib masih lagi menjadi perdana menteri. Pelbagai jabatan yang menjalankan siasatan, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara pula melapor kepadanya. Senarai ini tidak terhad kepada lelaki sahaja.

Bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Shahrizat Abdul jalil dan keluarganya terlibat dalam skandal National Feedlot Corporation (NFC), tetapi siasatan terhadap isu tersebut seperti sudah dilupakan. Walaupun dengan dakwaan salah guna dana oleh keluarga Shahrizat, serta bukti yang dikumpulkan oleh pembangkang, tidak ada pendakwaan dikenakan ke atas pemain utama isu ini. Yang ramai hanyalah kambing hitam.

Puak ulama’ pula menyebabkan perpecahan dalam masyarakat.

Mereka bersama-sama Umno Baru dan menggunakan agama untuk mengawal rakyat. Mereka saling menyokong agenda tersembunyi masing-masing. Mereka juga boleh dikatakan sebagai puak yang kebal di negara ini.

Begitu juga dengan NGO ekstrem seperti Isma dan Perkasa. Mereka diupah Umno Baru untuk mencetuskan ketegangan dan gangguan apabila khabar buruk melanda negara ini.

Mereka membuat dakwaan palsu tentang orang Melayu yang dimurtadkan, serta tuduhan mengarut tentang orang Melayu yang terancam imannya ekoran lambang salib di gereja. Institusi kebal yang lain adalah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Walaupun dengan segala tuduhan penipuan dalam pilihanraya, SPR tidak disiasat dan mempunyai rancangan jangka panjang untuk menjamin kemenangan Umno Baru dalam pilihanraya-pilihanraya akan datang. Menteri biasa seperti Nazri juga kebal.

Nazri tidak didakwa menghasut kerana mengkritik TMJ, tetapi hanya ditegur. MP pembangkang Nizar Jamaluddin pula didakwa di bawah Akta Hasutan kerana menulis di Twitter, bahawa wang yang digunakan Sultan Johor untuk membeli nombor pendaftaran kereta WWW1 sepatutnya digunakan untuk tujuan yang lebih baik, seperti membantu orang miskin.

Jurutera Chan Hong Keong dipenjara selama setahun dan didenda RM50,000 atas dakwaan menghasut, apabila dituduh menghina almarhum Sultan Azlan Shah kerana melantik Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar Perak dalam rampasan kuasa 2009.

Di sebalik 4R – race (kaum), religion (agama), rural people (masyarakat luar bandar dan royalty (institusi diraja) – untuk mengawal rakyat, Malaysia seperti terbolak-balik dan ditimpa hal memalukan tanpa henti.

Barangkali ini adalah sumpahan Dalit*.

*Dalam sistem kasta India, Dalit adalah golongan kasta rendah yang sering disisihkan daripada arus perdana.

Posted & copy by RAKYAT MARHAEN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.