Followers

Monday, June 22, 2015

'M'sia harus tarik diri dari TPPA' - Nik Nazmi Oleh Nik Nazmi

 
'M'sia harus tarik diri dari TPPA' - Nik NazmiSaya tertarik dengan laporan-laporan yang mengatakan bahawa Barrack Obama, Presiden Amerika Syarikat, akan membuat lawatan ke Malaysia sekali lagi pada bulan November, walaupun baru sahaja membuat lawatan pada bulan April tahun ini.

Apa yang lebih menarik adalah lawatan pada bulan April itu merupakan lawatan pertama seorang presiden Amerika Syarikat selepas hampir 50 tahun. Lawatan terakhir adalah pada tahun 1966 yang diketuai oleh Presiden Lyndon B Johnson.

Mengapa tiba-tiba seorang presiden Amerika begitu tertarik dengan Malaysia dan rantau ini?

Adakah mungkin kerana beliau ingin meraih sokongan untuk Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang semakin lama semakin lesu?

Pada bulan lepas, pentadbiran Obama gagal untuk mendapatkan sokongan Senat, terutamanya daripada golongan ahli parti Demokrat beliausendiri bagi mendapatkan Kuasa 'Fast-Track' untuk berunding perihal TPPA.

Bagaimanapun, Kongres Amerika Syarikat baru-baru ini meluluskan juga Trade Promotion Authority, dengan majoriti tipis dan kini ia perlu mendapatkan semula kelulusan di Senat.

Kesungguhan Obama untuk meluluskan perjanjian ini, yang sehingga sekarang masih tetap dirunding dengan penuh sulit, menimbulkan beberapa persoalan mengenai niat beliau.

Seperti yang sudah dilaporkan di merata-rata tempat, TPPA merupakan satu perjanjian yang berat sebelah dan hanya memberi manfaat kepada syarikat-syarikat transnasional besar Amerika, di samping menjejaskan kedaulatan negara-negara lain, termasuklah Malaysia, serta kesihatan awam dan kebebasan internet.

Obama sendiri tidak mampu menyakinkan rakan-rakan parti Demokrat beliau untuk menyokong perjanjian itu walaupun Amerika pasti menerima manfaat yang besar, maka Malaysia sepatutnya sedar perkara ini dan tidak meneruskan rundingan.

Dalam hal ini kerajaan Malaysia mestilah membuat pendirian terhadap komitmen mereka sama ada mereka sanggup membenarkan Amerika Syarikat dan syarikat-syarikat besar negara itu merobek kekayaan negara ini, atau membuat keputusan yang betul dan mempertahankan kepentingan dan kedaulatan negara kita.

NIK NAZMI NIK AHMAD adalah ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan exco kerajaan Selangor.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.