Followers

Saturday, June 20, 2015

DAP nafi tuntut MB pecat Exco PAS

 
 
Pengerusi DAP Selangor Tony Pua hari ini menafikan laporan akhbar Sin Chew Daily yang mengatakan pihaknya meminta supaya Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali memecat exco PAS dan membubarkan DUN negeri itu.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Pua menganggap laporan akhbar berbahasa Cina itu sebagai "tidak tepat" dan "mengelirukan".

Malah, Pua berkata pembubaran DUN adalah  perkara yang perlu dielakkan dan ia merupakan pilihan terakhir sekiranya kemelut Pakatan masih berlanjutan.

Sehubungan itu, Pua berkata pihaknya telah mengemukakan beberapa cadangan mengenai masalah Pakatan untuk dibincangkan bersama Azmin.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi di sini bahawa mesyuarat DAP Selangor mengemukakan beberapa cadangan penyelesaian untuk dibincang dengan menteri besar. Kami juga mengambil pendirian untuk sedia mendengar cadangan-cadangan beliau," kata ahli parlimen Petaling Jaya Utara itu.

Sedia kerjasama

Sin Chew Daily pada Khamis lalu melaporkan hasil mesyuarat tergempar DAP Selangor memutuskan supaya mendesak Azmin memecat tiga exco PAS memandangkan Pakatan sudah tidak lagi wujud.

Laporan itu juga menyebut, DAP Selangor membincangkan beberapa penyelesaian, termasuk menarik diri daripada kerajaan negeri dan meminta Azmin membubarkan DUN supaya pilihan raya negeri diadakan.

Selain itu, Pua berkata, pihaknya juga mengalu-alukan sebuah kerajaan gabungan negeri yang baru memandangkan Pakatan tidak lagi wujud.

Katanya, DAP Selangor juga bersedia untuk bekerjasama dengan pihak yang ingin melaksanakan dasar bersama dan manifesto kerajaan negeri.

"Tanpa wujudnya kerajaan Pakatan Rakyat, kami mengalu-alukan sebuah kerajaan gabungan negeri Selangor yang baru. Gabungan ini perlulah berasas secara menyeluruh kepada kerangka dasar bersama dan manifesto kerajaan Selangor yang diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya lalu.

"Kami mengalu-alukan kerajaan gabungan ini bersama dengan PKR dan mana-mana pihak lain yang sedia bekerjasama politik antara satu sama lain secara rasmi untuk mencapai matlamat tersebut," katanya.

Justeru, Pua berharap supaya pertemuan bersama Azmin yang juga timbalan presiden PKR itu dapat disegerakan bagi mengelakkan tercetusnya sangkaan buruk di media massa.

Jelasnya, permintaan untuk mengadakan pertemuan itu telah disampaikan kepada Azmin pada Khamis lalu dan pihaknya kini sedang menunggu tarikh untuk mengadakan pertemuan tersebut.

"Perjumpaan antara DAP Selangor dengan menteri besar adalah amat penting dan perlu disegerakan untuk menyelesaikan kemelut politik ini secepat mungkin.

"Selagi mesyuarat ini belum diadakan, tidak hairanlah jika ada pihak-pihak yang ingin mencetuskan sangkaan buruk di dalam media massa arus perdana.  
 
Permintaan ini telah disampaikan kepada menteri besar pada hari Khamis yang lalu dan kami kini menunggu penetapan tarikh dan masa daripada pejabat beliau," katanya lagi.
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.