Followers

Thursday, June 18, 2015

Ahli Pas di Pulau Pinang perlu letak jawatan demi maruah parti - FMT Reporters

 
khalid-samad_pas_penang_600

Pakatan Rakyat tidak lagi wujud dan wakil Pas perlu akur arahan Ketua Menteri.

PETALING JAYA: Semua wakil Pas yang memegang jawatan dalam Kerajaan Pulau Pinang perlu meletak jawatan bagi menjaga nama baik parti.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, ahli Pas perlu akur dengan arahan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, selaku ketua kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Adalah perlu bezakan struktur organisasi Pakatan Rakyat (PR) dan kerajaan Negeri. Dalam struktur kerajaan Negeri, Ketua Menteri adalah ketuanya.

“Apabila Ketua Menteri menasihati semua ahli Pas untuk meletak jawatan dari kerajaan Negeri, kerana telah memutuskan hubungan dan kerjasama dengan DAP, ia perlu diterima sebagai arahan ketua kerajaan Negeri,” tulis Khalid di blognya.

Katanya, keadaan itu sama dengan tindakan Tan Sri Khalid Ibrahim memecat EXCO Pas dan DAP kerana tidak lagi menyokongnya sebagai Menteri Besar ketika itu.

“Sepertimana tindakan Khalid diterima sebagai sesuatu yang dilakukan mengikut bidang kuasanya, maka begitu juga dengan tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Beliau boleh memecat semua kalau diinginkannya tetapi memberi peluang untuk yang terlibat meletak jawatan. Itu adalah lebih bermaruah,” katanya.

Dia berkata, tindakan Mohamad Sabu dan Datuk Dr Mujahid Rawa meletak jawatan adalah tindakan bermaruah dan ahli Pas lain perlu mencontohinya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.