Followers

Thursday, June 18, 2015

Pengunduran saya tidak redakan sikap tamak pemimpin PR – Khalid Ibrahim FMT Reporters

 
khalid-ibrahim_pkr_600_2

Peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor sia-sia apabila kepercayaan rakyat disalah guna oleh pemimpin tamak dan sombong.

PETALING JAYA: Permainan politik kembali mengatasi tumpuan terhadap memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, kata bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, beliau melepaskan jawatannya dahulu semata-mata demi faedah rakyat, tetapi malangnya ia tidak meredakan sikap tamak dan sombong ahli politik yang mendakwa mereka memperjuangkan pembaharuan, kesaksamaan dan keadilan.

“Kesudahannya, peletakan jawatan saya ternyata sia-sia sahaja apabila kepercayaan rakyat disalah guna dengan sewenang-wenangnya.

“Ketika saya menjadi Menteri Besar dahulu, saya dan pasukan saya menghabiskan banyak masa untuk cuba menenangkan kumpulan ahli politik ini, hingga mengorbankan hak serta kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengenai perkembangan dalam Pakatan Rakyat (PR), yang diisytiharkan DAP sebagai sudah tidak lagi wujud, beliau berkata ketaksuban para pemimpin negeri itu terhadap politik mengakibatkan berlaku perpecahan dalam pakatan pembangkang serta membelakangkan semakin banyak isu penting berkaitan rakyat.

Abdul Khalid berkata, pemimpin PR yang gemar menggelar diri mereka sebagai pejuang rakyat, perlulah mengamalkan kepimpinan melalui teladan serta melayan rakan, sekutu, penyokong dan pihak yang bersimpati dengan mereka dengan penuh rasa hormat dan bermaruah.

“Melakukan campur tangan terhadap isu dalaman sesebuah parti tidak seharusnya dijadikan suatu norma dalam mana-mana gabungan, lebih-lebih lagi Pakatan Rakyat.

“Tamak, tidak peka dan tidak bermaruah kesemuanya merupakan perencah yang melahirkan perasaan curiga secara mendalam, tidak boleh bekerja sama dan akhirnya membawa perpecahan dalam Pakatan Rakyat.

“Perkara paling menyedihkan ialah akhirnya, rakyatlah yang menanggung kerugian paling besar,” katanya.

Abdul Khalid terpaksa meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar ketika berlaku krisis kepimpinan di Selangor tahun lepas dan digantikan pesaing politik beliau, Mohamed Azmin Ali.

Langkah Kajang yang bertujuan menggantikan Khalid telah mencetuskan perbalahan dalam PR apabila Pas mendakwa tidak dimaklumkan keputusan itu.

Akhirnya, Pas menyokong Azmin dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar menggantikan Khalid sementara DAP dan PKR mencadangkan satu nama itu Wan Azizah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.