Followers

Sunday, May 24, 2015

Suu Kyi perlu pulangkan Anugerah Nobel Keamanan, gesa Utusan

Kolum Awang Selamat hari ini mengatakan Aung San Suu Kyi sebagai seorang yang kononnya tokoh keamanan, Suu Kyi sepatutnya menunjukkan keprihatinan kepada golongan minoriti yang ditindas tanpa mengira agama dan kaum.

Kolum Awang Selamat hari ini mengatakan Aung San Suu Kyi sebagai seorang yang kononnya tokoh keamanan, Suu Kyi sepatutnya menunjukkan keprihatinan kepada golongan minoriti yang ditindas tanpa mengira agama dan kaum.

Mingguan Malaysia hari ini menggesa Hadiah Nobel Keamanan yang dianugerahkan kepada tokoh pejuang kebebasan Myanmar, Aung San Suu Kyi, dipulangkan semula selepas beliau gagal membela nasib umat Islam Rohingya negara tersebut.

Penulis ruangan pojok Awang Selamat di akhbar milik Umno itu berkata, tindakan berdiam diri Suu Kyi ketika umat Islam ditindas pemerintah dan golongan ekstremis agama Buddha sesuatu yang memalukan.

"Jika Suu Kyi memilih untuk terus membisu, yang boleh ditafsir bersubahat, Awang cadangkan beliau pulangkan sahaja Hadiah Nobel yang dimenanginya.

"Memang tiada nilai dan hanya memalukan diri sendiri," kata Awang hari ini.

Awang berkata, sebagai seorang yang kononnya tokoh keamanan, Suu Kyi sepatutnya menunjukkan keprihatinan kepada golongan minoriti yang ditindas tanpa mengira agama dan kaum.

"Kini selepas Suu Kyi bebas, beliau tidak menampakkan keprihatinan kepada penduduk minoriti yang dicabul hak asasi melampaui batas.

"Setahu Awang, pemenang Hadiah Nobel harus berpegang kepada prinsip yang murni sepanjang masa dan tanpa kompromi," katanya.

Sebagai seorang ahli politik yang berpengaruh, Suu Kyi sepatutnya boleh memainkan peranan penting dalam menyelesaikan konflik membabitkan penganut agama Islam Rohingya, kata Awang.

"Apatah lagi beliau kini merupakan politikus yang berpengaruh di Myanmar yang boleh memainkan peranan signifikan membela nasib minoriti yang tertindas," katanya.

Kemelut pelarian Rohingya mendapat perhatian baru-baru ini selepas bot yang membawa rata-rata penganut Islam dari Myanmar itu terapung di lautan berikutan keengganan negara serantau seperti Thailand, Indonesia dan Malaysia menerima mereka.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tindakan menghalau mereka boleh mengundang krisis kemanusiaan yang serius.

Malaysia sebelum ini terus menolak bot mereka kembali ke lautan.

Bagaimanapun, terkini, selepas desakan dan kritikan, kerajaan Malaysia dan Indonesia bersetuju memberi kebenaran untuk mereka mendarat serta memberi bantuan. – 24 Mei, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.