Followers

Wednesday, May 13, 2015

SPRM bekukan akaun bernilai lebih RM560 juta di Sarawak, sita 500 balak

 

Antara hasil balak yang disita SPRM selepas menyerbu kilang papan di Sarawak dalam operasi bersepadu Ops Gergaji hari ini.

Antara hasil balak yang disita SPRM selepas menyerbu kilang papan di Sarawak dalam operasi bersepadu Ops Gergaji hari ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membekukan 375 akaun syarikat serta individu bernilai lebih RM560 juta di samping menyita lebih 500 batang kayu balak selepas menyerbu 27 kilang papan dan kolam balak serta 21 premis perniagaan di Sarawak, dalam operasi bersepadu "Ops Gergaji" hari ini.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohamad Jamidan Abdullah dalam kenyataan yang dikeluarkan SPRM Sarawak hari ini, berkata tindakan itu diambil ke atas pemilik syarikat pembalakan dan kilang papan, yang disyaki terbabit dengan perbuatan rasuah, pembalakan dan penebangan hutan secara haram serta perbuatan mengelak cukai kepada kerajaan.

Beliau berkata operasi bersepadu yang bermula sejak 9.30 pagi itu membabitkan sekurang-kurangnya 400 pegawai serta anggota SPRM, kerajaan negeri Sarawak, Jabatan Perhutanan Negeri, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan polis.

Menurutnya serbuan dilakukan secara serentak di 48 lokasi iaitu Miri (13), Kuching (12), Sibu (12), Bintulu (6), Bakun (3) serta Kapit (2), dan ia dibuat hasil siasatan terperinci dan menyeluruh berdasarkan maklumat risikan yang diperoleh SPRM bersama agensi terlibat.

"Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001," menurut kenyataan itu.

Jamidan berkata operasi bersepadu itu membuktikan komitmen padu kerajaan memerangi kegiatan rasuah dalam sektor pembalakan dan membendung aktiviti pembalakan serta penebangan hutan secara haram yang berleluasa di Sarawak, di samping melindungi khazanah alam sekitar negeri.

Menurutnya aktiviti haram itu juga dipercayai mengakibatkan kerugian berbilion ringgit kepada kerajaan. – Bernama, 12 Mei, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.