Followers

Sunday, May 3, 2015

PKR belum selamat di Permatang Pauh, kata penganalisis OLEH KC NAZARI


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih belum memberi arahan kepada ahli parti untuk menyokong calon PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan ini dilihat akan membawa elemen sabotaj.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih belum memberi arahan kepada ahli parti untuk menyokong calon PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan ini dilihat akan membawa elemen sabotaj.

Pendirian Pemuda PAS Pulau Pinang untuk menyokong kembali PKR di Permatang Pauh belum tentu menjamin kemenangan dengan majoriti besar, kata penganalisis politik Dr Azizuddin Mohd Sani.

Ini kerana Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang belum mengeluarkan arahan jelas kepada ahli parti dan penyokong agar mengundi Dr Wan Azizah Wan Ismail, kata Azizuddin.

Pensyarah di Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata akan wujud elemen 'sabotaj' terhadap PKR.

"Sekarang ini ada arahan pusat agar mereka membantu kempen. Namun, bantu kempen ini satu perkara dan mengundi pula satu perkara lain.

"Kemungkinan perpecahan undi itu akan berlaku juga. Ini kerana mereka ini seperti dipaksa memberi sokongan kepada PKR dalam pilihan raya," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata penyokong dan ahli-ahli PAS tidak akan mengundi Barisan Nasional (BN), namun mereka boleh memilih untuk tidak keluar mengundi atau membuang undi rosak.

Katanya, hanya dengan arahan jelas presiden PAS sahaja PKR boleh memastikan mereka kekal menang dengan majoriti besar.

"Hadi sepatutnya campur tangan dan bagi arahan agar ahli-ahli PAS memangkah Dr Wan Azizah. Tetapi sekarang ini tiada arahan," katanya.

Tanpa Hadi memberi arahan jelas kepada ahli PAS supaya memangkah Dr Wan Azizah dalam pilihan raya, ia akan menunjukkan kompromi antara dua parti tersebut kelihatan hanya sementara.

Tanpa Hadi memberi arahan jelas kepada ahli PAS supaya memangkah Dr Wan Azizah dalam pilihan raya, ia akan menunjukkan kompromi antara dua parti tersebut kelihatan hanya sementara.

Pemuda PAS Pulau Pinang pada Rabu menukar pendirian mereka yang sebelum ini bertegas tidak berkempen untuk PKR.

Pendirian itu dibuat atas alasan PKR menolak hudud yang mahu dilaksanakan PAS di Kelantan.

Ketuanya, Mohd Yusni Mat Piah bagaimana pun berkata mereka kini memutuskan untuk mematuhi pendirian PAS Pusat.

Pendirian itu diambil selepas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata tindakan akan diambil terhadap Yusni kerana melanggar ketetapan PAS Pusat.

Sementara itu, turut mengutarakan pendapat sama dengan Azizuddin adalah penganalisis politik, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian.

Katanya, Hadi perlu memberi arahan jelas agar ahli PAS memangkah Dr Wan Azizah.

"Kalau PAS sudah bersetuju berkempen, sudah tentu akan ada perubahan trend.

"Tetapi, sejauh mana pengundi akan keluar dan mengundi PKR belum dapat dipastikan. Ini kerana presiden PAS masih belum mengeluarkan kenyataan tentang perkara ini.

"Kita lihat mereka seperti ada kompromi di belakang tabir tetapi ia mungkin bersifat sementara sehingga pilihan raya ini selesai," katanya.

Seorang lagi penganalisis, Dr Ahmad Tarmizi Talib pula berpandangan pendirian terbaru Pemuda PAS itu tidak membawa apa-apa perubahan kepada kempen PKR.

"Majoriti kemenangan PKR tidak penting kerana Permatang Pauh adalah kubu kuat mereka.

"Dalam sistem pilihan raya kita, menang dengan majoriti satu undi pun dikira menang," katanya.

Selepas seminggu kempen berlangsung, Hadi masih belum muncul di Permatang Pauh untuk menjayakan kempen PKR.

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sewaktu ditanya tentang perkara itu berkata ia sebahagian dari "permuafakatan" Pakatan Rakyat (PR) agar Hadi menumpukan perhatian kepada kempen PAS yang bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Rompin.

"Hadi menumpukan kepada kempen PAS di Rompin dan kita pula tumpukan kepada kempen PKR di sini.

"Inilah permuafakatan dalam Pakatan Rakyat," katanya sewaktu ditemui selepas ceramah anti-GST di Guar Perahu.

Sejak tahun 1982, kerusi Permatang Pauh disandang silih berganti oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Dr Wan Azizah.

Dalam pilihan raya kecil ini, Dr Wan Azizah berdepan pertarungan 4 penjuru.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang itu akan berentap dengan calon BN Suhaimi Sabudin, calon bebas Salleh Ishak, dan Azhar Shah Othman dari Parti Rakyat Malaysia.

Kerusi P44 Permatang Pauh kosong selepas Anwar hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen selepas dipenjarakan selama 5 tahun kerana disabitkan bersalah meliwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Lembaga Pengampunan turut menolak petisyen pengampunan yang difailkan Anwar.

Kira-kira 70% pengundi Permatang Pauh adalah Melayu dan ia terbahagi kepada 3 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Penanti, Permatang Pasir dan Seberang Jaya. – 3 Mei, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.