Pendeposit Serbu Tabung Haji Untuk Tutup Akaun
Sekumpulan pemegang akaun Tabung Haji (TH) hari ini bertindak
mengeluarkan wang simpanan mereka daripada badan penyimpan wang bakal
haji itu, sebagai membantah keputusannya membeli tanah 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) seperti didedahkan baru-baru ini.
Mereka juga menyatakan hilang kepercayaan dengan TH, dan menuntut pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Rahim meletakkan jawatan.
"Kami akan masukkan balik duit ini selepas Datuk Azeez meletakkan
jawatan sebagai pengerusi," kata Mohd Hilmi Radzuan yang mengetuai
kumpulan ini, ketika ditemui di perkarangan kaunter TH di Anggerik Mall,
Shah Alam pagi tadi.
Azeez sebelum ini menafikan dakwaan beberapa blog mengenai pembelian
itu, tetapi kemudiannya mendakwa kesilapan komunikasi selepas pengesahan
oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji Datuk Johan Abdullah.
Hilmi berkata tindakannya mengeluarkan wang merupakan signal daripada
rakyat Malaysia agar TH tidak dikuasai kelompok yang menjaga kepentingan
politik mereka daripada pendepositnya.
Seorang lagi penyimpan, Danial Al-Rashid Haron Aminar berkata beliau
hilang kepercayaan kepada TH sejak timbul isu pembelian tanah 1MDB ini.
Danial, yang merupakan anak bekas pelakon Allahyarham Haron Salim
Bachik, mahu TH dikembalikan kepada tujuan asalnya dan tidak dikuasai
orang politik.
"Sebelum ni ok je. Bagi saya, Azeez kena letak jawatan," katanya yang
mengeluarkan RM1,000 daripada akaun yang disimpan atas nama anaknya.
Turut hadir ialah seorang guru, yang mengambil cuti sekejap dari tempat
kerjanya bagi urusan mengeluarkan wang simpanannya hari ini.
"Saya memang marah bila dengar berita ini, sebab itu saya ambil keputusan keluarkan wang saya dari Tabung Haji.
"Dia pandai-pandai guna wang kita untuk selamatkan kroni dia," kata guru
berusia 29 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad itu.
Rafizal Ali, 36, mengeluarkan RM1,500 hari ini dan menuntut Azeez meletak jawatan.
"Saya hilang keyakinan kepada TH selagi Azeez memimpinnya," kata Rafizal kepada The Malaysian Insider.
Beliau berjanji akan menyimpan semula wangnya selepas Azeez meletak jawatan dan TH membatalkan pembelian tanah 1MDB itu.
TH semalam mengesahkan ia membeli sebidang tanah bernilai RM188.5 juta
daripada projek pelaburan Tun Razak Exchange (TRX), iaitu projek utama
oleh 1MDB, yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.
TH mendakwa pembelian itu mendapat "diskaun" harga berbanding nilai pasaran semasa.
Badan pengelola dana simpanan itu merancang membina sebuah menara
kediaman di tapak yang akan dibangunkan anak syarikat TH, TH Properties
Sdn Bhd, sebuah syarikat hartanah dan pembinaan yang terlibat dalam
pembangunan perbandaran bercampur Bandar Enstek seluas 5.119 ekar
berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Pelaburan itu berdasarkan kepada keputusan komersial yang sesuai dengan
risiko Tabung Haji dan melalui semua proses sewajarnya," kata Johan
dalam kenyataannya, semalam.
Bagaimanapun, TH menafikan kumpulan itu membeli sebidang tanah daripada
1MDB di parcel kedua TRX seperti diperkatakan blog "The Benchmark" yang
membocorkan dokumen didakwa memperincikan pembelian TH sebanyak 2 plot
tanah di TRX dengan jumlah modal RM772 juta.
Bagaimanapun, ahli Parlimen pembangkang Zairil Khir Johari menegaskan TH
sudah membayar nilai hartanah itu jauh lebih mahal berbanding nilai
yang dibayar 1MDB pada kadar RM64 sekaki persegi 4 tahun lalu. – 8 Mei,
2015.
Posted by
Hati Muda
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.