Followers

Saturday, May 2, 2015

'PAS tak layan ahli, penyokong protes Azizah'


Zack Ahmad's photo. PAS Pusat tidak akan melayan tindakan anggota dan penyokong parti itu yang mahu memprotes secara senyap terhadap calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, 7 Mei ini.

Naib Presidennya Salahuddin Ayub berkata kepimpinan tertinggi menganggap kes berkenaan sebagai terpencil dan sudah membuat keputusan untuk terus membantu memastikan kemenangan Wan Azizah.

"Itu komitmen yang kita berikan setakat ini. Negeri-negeri yang membantu seperti Perlis, Kedah malah sebahagian daripada Kelantan dan Perak telah melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Semua gerak kerja PAS telah kita berjaya laksanakan untuk membantu beberapa siri kempen bagi memastikan kemenangan di Permatang Pauh," katanya selepas merasmikan Muktamar Tahunan ke-43 Pemuda PAS Johor, di Johor Bahru hari ini.

Ketua Penerangan PAS kawasan Bagan, Azmi Jaafar dan Timbalan Yang Dipertua PAS Bagan Mohd Yusuf Khazali semalam dilaporkan mengesahkan ada di kalangananggota dan penyokong tidak akan keluar mengundi dan akan merosakkan undi sekiranya ke pusat pengundian.

Azmi dilaporkan berkata maklumat tersebut diperoleh berdasarkan maklum balas dan pertemuan pihaknya dengan anggota dan penyokong PAS di kawasan Permatang Pauh selepas penamaan calon pada 25 April lepas.

Ditanya mengenai ketidakhadiran Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang turun padang berkempen di Permatang Pauh, Salahuddin menegaskan anggota Parlimen Marang itu sedang sibuk dengan beberapa persiapan menjelang Muktamar Tahunan PAS, bulan depan.

"Abdul Hadi sibuk di Pahang (Rompin) manakala Pengarah PRK Permatang Pauh adalah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

"Kami di peringkat tertinggi bergilir-gilir turun berkempen di Permatang Pauh dan Rompin sebab Presiden ada beberapa program konvensyen negeri menjelang muktamar dan hari ini beliau di Sabah seterusnya di Sarawak," katanya.

Sementara itu, mengenai tindakan sesetengah pihak yang mengaitkan beliau cuba menjatuhkan kepimpinan Abdul Hadi, Salahuddin berkata ia merupakan perkara biasa setiap kali berlakunya pemilihan parti.

Menurut Salahuddin, beliau tidak ambil kisah isu seumpama itu dan isu tersebut akan berlalu seperti biasa apabila selesai pemilihan.

Turut hadir di muktamar itu ialah Pesuruhjaya PAS Johor Aminolhuda Hassan, Ketua Dewan Ulama PAS Johor Abdullah Husin dan Ketua Dewan Pemuda PAS Johor Mohd Faizul Salleh.


- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.