Followers

Sunday, May 24, 2015

Balas dendam yang memuaskan hati bagi jurulatih Lions XII

Jurulatih Lions XII Fandi Ahmad berkata mengalahkan Kelantan di Piala FA semalam adalah balas dendam yang memuaskan hati.

Jurulatih Lions XII Fandi Ahmad berkata mengalahkan Kelantan di Piala FA semalam adalah balas dendam yang memuaskan hati

Jurulatih Lions XII, Fandi Ahmad menyifatkan kejayaan mengalahkan bekas juara 2 kali, Kelantan, 3-1 pada final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam sebagai membalas dendam yang memuaskan hati.

Fandi, yang berjanji untuk membawa trofi Piala FA menyeberangi Selat Tebrau, turut memuji skuad muda itu atas kejayaan mengejutkan 'The Red Warriors' yang lebih mantap serta dibarisi 4 pemain import.

Sebagai rekod, Lions XII mengalami kekalahan 2-0 kepada Kelantan pada pertemuan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Baru, pada 15 Februari lepas.

"Adalah manis untuk menang ke atas Kelantan malam ini... kami sudah membuktikan ramalan oleh semua pihak adalah tidak tepat.

"Kami tidak mempunyai pemain bintang dalam pasukan, tetapi pemain melakukan yang terbaik di bahagian serangan dan juga penjaga gol, Mohd Izwan Mahbud, yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

"Kejayaan ini adalah baik untuk pasukan dengan sebahagian pemain menyertai skuad Sukan SEA Singapura. Ini akan memanfaatkan pemain lain dalam pasukan," kata Fandi kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata pasukannya terpaksa membayar harga yang tinggi atas kesilapan kecil di barisan pertahanan.

Bagaimanapun, beliau berjanji skuad itu akan bangkit semula dengan lebih mantap pada musim depan.

"Selepas gol penyamaan, kami fikir semua akan berjalan lancar dan boleh memenangi perlawanan ini tetapi malangnya gagal. Bukan mudah menentang Lions XII yang bermain dengan baik.

"Kami juga mempunyai banyak peluang tetapi gagal melakukan jaringan," katanya.

Lions XII, selaku pasukan bukan pilihan, melakukan kejutan apabila membuka jaringan awal pada minit keenam menerusi pemain sayap, Muhammad Faris Ramli sebelum Kelantan menyamakan kedudukan pada minit ke-62 menerusi Wan Zack Haikal Wan Noor.

Pemain gantian, Mohd Shail Suhaimi muncul wira pasukan Lions XII apabila melakukan jaringan gol kedua pada minit ke-81 dan kemudian menyempurnakan tendangan penalti pada masa kecederaan minit ke-94.– Bernama, 24 Mei, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.