Followers

Friday, May 8, 2015

Abang KPN enggan ulas surat tunjuk sebab Umno MUZLIZA MUSTAFA


Pemimpin Umno Datuk Abdullah Abu Bakar, berkata tiada keperluan untuk beliau menjelaskan apa-apa berkaitan surat tunjuk sebab yang diterimanya buat masa ini.

Pemimpin Umno Datuk Abdullah Abu Bakar, berkata tiada keperluan untuk beliau menjelaskan apa-apa berkaitan surat tunjuk sebab yang diterimanya buat masa ini.

Pemimpin Umno Datuk Abdullah Abu Bakar menerima surat tunjuk sebab dari ibu pejabat parti itu yang menuntut penjelasan berhubung pembabitan beliau dalam bantahan simbol salib di Taman Medan bulan lalu.

Beliau, bagaimanapun enggan menjelaskan apa-apa mengenai perkara itu.

Abdullah yang juga abang kepada Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata tiada keperluan untuk beliau menjelaskan apa-apa buat masa ini.

"Saya simpan komen saya dulu buat masa ini," kata Abdullah kepada The Malaysian Insider petang ini.

Portal berita Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa ibu pejabat Umno mengeluarkan surat kepada ahli yang terlibat dalam protes di luar sebuah gereja di Taman Medan, Petaling Jaya 19 April lalu.

Menurut Setiausaha Agung parti itu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, "lebih kurang lima" ahli Umno terlibat dalam tunjuk perasaan berkenaan.

Tengku Adnan dilaporkan Malaysiakini sebagai berkata: "Kami sudah menulis kepada mereka yang berkenaan 'tolong, apa yang akan anda lakukan, ingat ini adalah sebuah negara yang berbilang kaum'. Kami juga sudah memberitahu mereka bahawa Umno tidak akan melindungi ahli yang terlibat dan membiarkan perkara itu."

Menurut Malaysiakini, antara penerima surat itu adalah Abdullah dan bekas Ketua Wanita Umno Petaling Jaya Selatan Munaliza Hamzah.

Tengku Adnan berkata, ahli Umno juga diingatkan rakyat Malaysia sentiasa memerhatikan Umno kerana parti itu adalah komponen utama dalam Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerajaan.

Tindakan tatatertib akan dikenakan kepada individu yang terbabit jika lembaga disiplin mendapati alasan yang diberikan tidak munasabah, kata setiausaha agung parti itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim memaklumkan kepada The Malaysian Insider siasatan polis ke atas kes itu hampir selesai.

Polis mendapati walaupun Abdullah hadir dalam bantahan itu, beliau tidak terlibat secara langsung dalam protes berkenaan.

"Itu apa yang kami kumpulkan dalam siasatan ini tetapi kami akan menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya," kata Noor Rashid.

Sementara itu, lawatan ke gereja Taman Medan menunjukkan  tempat ibadat itu masih belum meletakkan semula simbol salib yang diturunkan selepas didesak penunjuk perasaan untuk berbuat demikian bulan lalu.

Pimpinan gereja memberitahu media mereka akan menunggu arahan daripada ketua gereja mengenai perkara itu.

Kerajaan Selangor, bagaimanapun menjelaskan bahawa gereja mempunyai hak untuk meletakkan salib itu semula.

Pada 19 April lalu, kira-kira 50 orang yang berkumpul di luar gereja baru ketika upacara ibadat dijalankan menuntut salib yang diletakkan pada sebuah bangunan diturunkan kerana dianggap "mencabar Islam" dan boleh mempengaruhi akidah anak muda beragama Islam di kawasan itu.

Gereja ini terletak di sebuah hujung deretan rumah kedai di kawasan komersial berhampiran beberapa rumah pangsa yang kebanyakan penduduknya beragama Islam. – 7 Mei, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.