Followers

Thursday, April 23, 2015

Suruh anak, cucu Ahmad Maslan pakai lampin kain, kata PKR OLEH HASBULLAH AWANG CHIK


Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin (kanan) bercakap kepada media pada sidang media kempen bantah GST di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya, hari ini.

Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin (kanan) bercakap kepada media pada sidang media kempen bantah GST di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya, hari ini

PKR hari ini menggesa anak dan cucu Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan menggunakan lampin kain bagi turut sama merasai derita rakyat yang terpaksa berbelanja besar membeli lampin pakai buang setiap bulan.

Pengarah strateginya, Sim Tze Tzin berkata lampin pakai buang menjadi semakin mahal selepas dikenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan ia memberi kesan kepada generasi muda serta mereka yang memiliki anak ramai.

“Lampin pakai buang paling mahal untuk perbelanjaan keluarga muda. Seminggu lebih kurang satu pek atau tiga suku pek (besar). Setiap bulan perlu tiga pek untuk setiap anak.

“Setiap bulan, kami perlu tunggu jualan murah, baru pergi beli. Kita tidak boleh lari daripada membeli lampin pakai buang. Tidak ada orang pakai lampin kain lagi. Kalau pakai lampin kain, cuci pun teruk.

“Suruh anak Ahmad Maslan pakai lampin kain, atau cucu dia. Baru dia tahu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya.

PKR mendesak Putrajaya agar mengecualikan 4 kategori barangan kanak-kanak (5 tahun dan ke bawah) daripada GST iaitu kos konsultasi doktor, perubatan dan vitamin, barangan kebersihan, peralatan asas dan susu.

Sim berkata, Putrajaya tidak harus mengenakan cukai kepada orang sakit kerana tiada siapa yang mahu ditimpa penyakit.

“Kami menjangkakan satu keluarga muda dengan 3 anak secara purata membayar GST RM120 sebulan kerana perlu membeli bahan keperluan kanak-kanak. Ini bebanan yang berat kepada ibu bapa dan keluarga muda.

"Kanak-kanak adalah harapan keluarga kita. Dasar kerajaan harus menunjukkan kasih sayang yang tinggi kepada kanak-kanak. Malangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya berminat mengaut keuntungan yang paling maksimum,” katanya.

Ahmad semalam mencabar Pakatan Rakyat (PR) mengemukakan alternatif sekiranya mereka menolak pelaksanaan GST.

Katanya, GST merupakan satu sistem percukaian meringankan beban rakyat dan bukan seperti mana didakwa pembangkang dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) di Permatang Pauh dan juga Rompin.

Ahmad berkata sekiranya pelaksanaan GST itu ditolak, beliau ingin tahu apa alternatif yang boleh dikemukakan pembangkang dalam meringankan beban rakyat dan pada masa sama dapat memajukan negara.

"Bantahan pembangkang terhadap GST itu tidak betul dan akan menyusahkan rakyat kerana pelaksanaan GST dapat mengurangkan cukai kepada 6% daripada 10% ketika SST," katanya kepada Bernama.

Ahmad berkata GST merupakan satu sistem percukaian lebih kemas, tersusun dan baik jika dibandingkan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan sebelum ini. – 23 April, 2015.

The Malaysia Insider.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.