Gereja di rumah kedai di Taman Medan, Petaling Jaya dibenarkan memasang semula tanda salib, kata Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.
Gereja kontroversi yang terletak di lot Perniagaan Metro Taman Medan, Petaling Jaya dibenarkan memasang semula tanda salib di premis itu, kata Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.
Azmin berkata, salib merupakan simbol suci bagi penganut Kristian dan masyarakat lain perlu menghormatinya.
"Ya, tak menjadi masalah. Sebaliknya persoalan kita adalah, kenapa paksa mereka turunkan salib?
"Ini kerana salib adalah lambang suci kepada penganut Kristian dan masyarakat perlu hormat," katanya kepada pemberita di lobi bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) di Shah Alam, hari ini.
Azmin berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab mengadakan protes Ahad lalu.
Katanya, protes itu tidak boleh diterima dan semua pihak perlu saling menghormati antara penduduk berbilang agama di Selangor.
Ahad lalu, kira-kira 50 penduduk Taman Medan mengadakan protes di depan gereja itu menuntut tanda salib di luar bangunan premis itu diturunkan.
Kumpulan tersebut mendakwa, kewujudan salib gergasi itu mampu menggugat keimanan.
Petang semalam, Ketua Umno Cawangan Taman Lindungan Jaya, Datuk Abdullah Abu Bakar disoal siasat polis hampir 3 jam berhubung kejadian itu.
Abdullah yang merupakan abang kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira jam 4 petang bagi merakamkan keterangan.
Sementara itu, mengulas dakwaan Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang yang mempertahankan undang-undang hudud perlu dilaksanakan demi keselamatan dan keamanan rakyat, Azmin menepis alasan itu.
Katanya, ada banyak perkara lain yang melibatkan isu keselamatan rakyat berbanding hudud.
"Kita bercakap soal pengukuhan ekonomi untuk semua rakyat Malaysia, kebajikan, dan sistem pendidikan. Ini isu keselamatan yang sebenar kita sebagai rakyat di Malaysia," katanya.
Hadi pada sesi Bicara Minda dan sesi dialog "Hudud dari kaca mata Hadi" di Komples Karangkaf di Shah Alam semalam mendakwa punca DAP dan PKR enggan sokong hudud kerana takut hilang undi.
"Saya buat kesimpulan ramai dalam kalangan pakatan pembangkang tidak suka hudud kerana takut tidak dapat undi. Mereka takut pengundi tidak akan mengundi kita.
“Namun, masalah kita (PAS) ialah bukan kerana pilihan raya tetapi keamanan dan keselamatan. Tidak menang pilihan raya pun tak apa, asalkan rakyat selamat,” katanya. – 23 April, 2015.
The Malaysia Insider.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.