PERMATANG PAUH: Berbaki
beberapa jam sebelum Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan calon,
cakap-cakap kuat mengatakan tiada kejutan bakal dibuat parti itu dalam
usaha menyelamatkan kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Sehingga berita ini ditulis, keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan
akan terus ‘mengawal’ kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK)
Parlimen Permatang Pauh yang akan diadakan pada 7 Mei ini.
Hanya dua nama paling kuat dikatakan menjadi taruhan PKR iaitu sama ada
isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau anak ketiga
mereka, Nurul Nuha Anwar.
Sumber dalaman parti itu ketika dihubungi mStar Online berkata,
sentimen pemenjaraan Anwar atas kesalahan meliwat merupakan ‘senjata’
paling kuat parti itu untuk menentang Barisan Nasional (BN) di Permatang
Pauh.
Selain itu sumber berkenaan yang juga antara orang kanan kepada pemimpin
utama PKR di Pulau Pinang berkata, Dr Wan Azizah dan Nurul Nuha
diyakini berupaya meraih sokongan pengundi bersandarkan sentimen Anwar.
"Namun Kak Wan (Dr Wan Azizah) adalah calon paling layak. Selain
berpengalaman dalam politik, beliau juga sudah di dikenali dikalangan
penduduk setempat.
"Berbeza dengan Nuha, walaupun dikatakan boleh memberi kejutan, tapi dia
tak ada pengalaman. Orang pun tak kenal dia lagi melainkan atas faktor
anak Anwar. Payah (susah) nak raih sokongan," kata sumber itu.
Ditanya mengenai cakap-cakap yang mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin dan bekas Ahli Parlimen Balik
Pulau, Yusmadi Yusoff turut menjadi pertimbangan PKR sebelum ini, beliau
bagaimanapun tidak menolak mengenai perkara itu.
Namun katanya terdapat pelbagai faktor yang memaksa PKR untuk
‘menggugurkan’ kedua-dua nama berkenaan daripada senarai calon
berpotensi bertanding di Permatang Pauh.
"Sebelum ini wujud perbalahan dalam PKR dalam menentukan calon. Kem-kem
dalam PKR mula melobi untuk meletakkan calon masing-masing di kerusi
berkenaan.
"Tapi tak semudah itu untuk menang di Permatang Pauh walaupun mereka beranggapan itu adalah kerusi yang mudah menang.
"Jadi sebagai usaha untuk menghentikan pertikaian dalaman, Kak Wan
sebagai Presiden PKR terpaksa menggalas tugas tersebut sekali lagi,"
katanya.
PKR akan mengumumkan calon mereka di Seberang Perai Arena dalam program
ceramahnya yang akan bermula kira-kira pukul 9 malam ini.
Kerusi Parlimen Permatan Pauh diisytihar kosong selepas Anwar dijatuhi
hukuman penjara lima tahun kerana meliwat pembantunya, Mohd Saiful
Bukhari Azlan.
Dr Wan Azizah yang juga Adun Kajang di Selangor, pernah bertanding di
kerusi Parlimen Permatang Pauh dan memenanginya pada tahun 1999 selepas
Anwar dipenjarakan atas kesalahan yang sama.
Beliau menjadi Ahli Parlimen kawasan tersebut selama dua penggal dan
meletakkan jawatan untuk memberikan laluan kepada Anwar yang ketika itu
baharu sahaja dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama lima
tahun.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.