Gereja tidak perlu berdaftar untuk diwujudkan dan beroperasi, kata Presiden Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia Jagir Singh. –
Gereja tidak perlu berdaftar untuk diwujudkan dan beroperasi, kata Presiden Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia Jagir Singh. –
Sesebuah gereja tidak perlu didaftarkan untuk wujud dan beroperasi, kata majlis antara agama, kerana hak ini diperuntukkan di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan beragama.
Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) berkata, berdasarkan Perlembagaan, tidak ada undang-undang yang menghendaki sebuah gereja mendaftarkan tempat ibadat mereka.
"Perkara 11(3) menyatakan, setiap agama mempunyai hak untuk memperoleh harta dan mengawal selia hal ehwal mereka sendiri tanpa apa-apa kelulusan," kata Presiden MCCBCHST Jagir Singh kepada The Malaysian Insider (TMI).
"Jadi soal menyalahi undang-undang, sama sekali tidak timbul di sini."
Jagir berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengisytiharkan gereja yang terbabit dalam kontroversi berkaitan salib di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor itu menyalahi undang-undang.
Pegawai Perhubungan Awam MBPJ Zainun Zakaria berkata unit tepi rumah kedai yang dijadikan gereja itu tidak mempunyai lesen untuk beroperasi sebagai rumah ibadat mengikut Akta 133 Seksyen 70 (12).
Beliau berkata, gereja itu tidak mempunyai permit yang diperlukan daripada pihak majlis untuk meletakkan tanda salib di luar premis itu.
Bagaimanapun, Jagir berkata Perkara 11 bermakna perbuatan ibadat mereka itu, walaupun dilakukan di bangunan komersial, tidak menyalahi undang-undang.
"Saya tidak tahu sama ada kita memerlukan lesen untuk sembahyang... Saya tidak fikir begitu," kata peguam itu secara berseloroh.
"Ibadat boleh dilakukan di setiap rumah, di setiap kedai di kawasan komersial. Anda tidak perlu kebenaran khusus untuk itu. Mereka yang mempunyai kedai ada altar di premis mereka, dan bersembahyang di situ... adakah ini bermakna mereka memerlukan lesen untuk berbuat demikian,” katanya.
Setiausaha Eksekutif Persekutuan Kristian Malaysia Tan Kong Beng bersetuju dengan Jagir, dan memberitahu The Malaysian Insider terdapat salah faham umum gereja perlu didaftarkan sebelum boleh beroperasi.
"Ini tidak benar. Mereka sebenarnya tidak perlu didaftarkan. Tetapi dengan mendaftar, ia membantu memudahkan membeli tanah, membuka akaun bank dan tujuan lain.
"Terdapat pelbagai cara pendaftaran juga. Ada gereja ke Pendaftar Pertubuhan (RoS), ada ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia, ada juga melalui surat ikatan amanah dan ada mendaftar sebagai sebuah syarikat bukan berasaskan keuntungan," kata Tan.
Kerajaan negeri Selangor menganggap perkara itu selesai semalam apabila Jawatankuasa Negeri mengenai Hal Ehwal Bukan Islam (HESI) berkata gereja dibenarkan beroperasi di premis komersial tanpa permit; ia hanya perlu memaklumkan jawatankuasa itu.
Ini berlaku sejak pentadbiran sebelumnya, menurut satu kenyataan dikeluarkan Pengerusi Bersama HESI Elizabeth Wong, semalam.
"Majlis MBPJ juga menjelaskan sejak 2008, Jawatankuasa Negeri mengenai Hal Ehwal Bukan Islam sebelum ini (ketika itu dikenali sebagai Jawatankuasa Negeri bagi Tempat Ibadat Bukan Islam) membenarkan gereja beroperasi di premis komersial atau pejabat tanpa memerlukan permohonan permit, tetapi hanya melalui pemberitahuan kepada jawatankuasa itu.
"Ini berdasarkan kepada prinsip yang Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan merangkumi kebebasan beragama."
Wong, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan dan exco Selangor berkata kenyataan MBPJ itu tidak tepat.
"Tidak ada dasar begitu yang dikenakan jawatankuasa negeri, iaitu HESI. Suatu pemberitahuan kepada jawatankuasa HESI sudah mencukupi. Dan jika majlis tempatan ada sebarang isu atau soalan, mereka boleh merujuk kepada jawatankuasa HESI itu,” katanya.
Pada Ahad, kira-kira 50 orang berkumpul di luar sebuah gereja baharu menuntut lambang salib yang dilekatkan di luar bangunan tersebut diturunkan.
Salah seorang yang hadir pada bantahan tersebut ialah pemimpin Umno Datuk Abdullah Abu Bakar, abang kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Penunjuk perasaan berkata, kehadiran salib di kawasan majoriti Islam itu mencabar agama dan boleh mempengaruhi iman golongan muda.
Salib berkenaan dibawa turun pemimpin gereja beberapa jam kemudian.
Jagir berkata, hujah MBPJ mengenai operasi gereja tanpa lesen tiada kaitan dengan bantahan itu sendiri.
"Meminta lambang salib itu diturunkan dan memaksa gereja berbuat demikian satu kesalahan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kata-kata dengan niat menyakiti hati penganut agama lain.
"Ia juga satu kesalahan mengikut Akta Hasutan," katanya.
Presiden majlis antara agama itu berkata, penunjuk perasaan tidak mempunyai kuasa atau arahan mahkamah untuk memaksa gereja itu menurunkan lambang salibnya, yang merupakan simbol agama Kristian.
"Oleh itu, apa yang mereka lakukan menyalahi undang-undang, tidak kira sama ada gereja itu menyalahi undang-undang atau tidak," katanya. – 22 April, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.