Followers

Wednesday, April 15, 2015

Peranan polis semasa perhimpunan hanya kawal trafik, kata Suhakam OLEH JENNIFER GOMEZ

 

Suhakam berkata peranan polis ketika perhimpunan awam hanya terhad kepada pengurusan lalu lintas bagi memudahkan orang ramai.

Suhakam berkata peranan polis ketika perhimpunan awam hanya terhad kepada pengurusan lalu lintas bagi memudahkan orang ramai.

Polis perlu jelas mengenai peranan mereka dalam perhimpunan awam, iaitu terhad kepada "pengurusan dan kawalan lalu lintas" bagi memudahkan orang ramai, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini.

Timbalan Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee berkata, Akta Perhimpunan Aman yang memantau penganjuran demonstrasi dan bantahan, hanya memerlukan penganjur memberi notis mengenai perhimpunan itu kepada pihak polis bertujuan menguruskan lalu lintas.

"Kami harap polis faham yang mengikut akta itu, kebenaran tidak lagi diperlukan, dan mereka perlu terus memainkan peranan sewajarnya seperti yang terkandung dalam akta itu," katanya hari ini.

Khaw (gambar, kanan) berkata demikian mengulas satu daripada syor dalam Laporan Tahunan Suhakam 2014 yang dikeluarkan hari ini di Kuala Lumpur.

Menurut syor mengenai perhimpunan aman itu, akta berkenaan hanya memerlukan notis diberi kepada polis bagi memudahkan perhimpunan dan bukan untuk menyekat orang ramai.

Perhimpunan di ibu negara baru-baru ini oleh pergerakan #KitaLawan berjalan lancar. Ia dirancang sebagai acara mingguan setiap Sabtu sejak awal Mac, bagi memberi tekanan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini menjalani hukuman penjara kerana sabitan liwat, dibebaskan.

Bagaimanapun, polis menahan penganjur perhimpunan dan ahli politik pembangkang serta beberapa aktivis yang mengambil bahagian dalam perhimpunan itu, selepas atau sebelum perhimpunan itu.

Ahli pembangkang dan pengkritik kerajaan berasa Putrajaya menyekat kebebasan bersuara melalui tangkapan tersebut, bagi mendatangkan rasa takut kepada rakyat.

Khaw berkata Malaysia masih belum menandatangani perjanjian hak asasi manusia utama yang lain.

Beliau melahirkan kekesalan kerana Putrajaya tidak menerima syor daripada proses Kajian Berkala Sejagat 2013 yang berhubung kait dengan ratifikasi perjanjian bagi mereformasi undang-undang negara dan memansuhkan hukuman mati.

Daripada cadangan yang diberi negara anggota, Malaysia menerima 150 syor dan menolak 83 syor.

"Kami khuatir ini akan menghalang negara memperbaiki rekod hak asasi manusianya dan membantutkan pertumbuhan negara untuk mencapai status negara maju," katanya.

Katanya, Putrajaya juga menunjukkan maklum balas yang lemah terhadap hak orang asal rakyat, terutama yang berhubung kait dengan hak tanah mereka.

Beliau berkata Suhakam juga kecewa kerana kerajaan tidak menyokong 6 cadangan utama mengenai hak orang asal ini.

"Sekurang-kurangnya kerajaan boleh berkata mereka menubuhkan sebuah pasukan petugas mengenai isu itu daripada mengatakan ia tidak menyokong syor itu sama sekali, yang merupakan satu tindakan yang pra-matang," tambahnya.

Menurut Khaw, Suhakam sudah menjalankan Siasatan Awam ke atas hak tanah Orang Asal di Malaysia dan laporannya sudah disediakan pada 2012.

Berikutan itu, kerajaan menubuhkan pasukan petugas pada Ogos 2013 untuk mengkaji laporan Suhakam itu.

Beliau berkata walaupun mereka tidak menerima sebarang maklumat secara langsung, namun difahamkan laporan pasukan petugas itu sudah dihantar kepada menteri pada Disember 2014.

"Kami masih belum menerima laporan daripada pasukan petugas itu, tetapi kami berharap untuk mendapatkannya tidak lama lagi dan juga cadangan kami diterima," tambahnya.

Isu lain yang diketengahkan dalam laporan tahunan Suhakam ialah Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Nasional, di mana Khaw berkata mereka membentangkan kertas cadangan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi hak asasi manusia, Nancy Shukri, mengatakan yang 5 teras dalam pelan itu terlalu luas.

5 teras yang digariskan kerajaan itu ialah di bawah hak sivil dan politik, hak sosial dan budaya ekonomi, hak kumpulan yang mudah terjejas, hak orang asal dan obligasi antarabangsa.

"Kami berharap 5 teras itu akan jadi lebih realistik, praktikal dan boleh dicapai dan kami juga berharap kerajaan akan berunding dengan pihak berkepentingan mengenai pelan tindakan itu di semua peringkat proses pembangunannya," katanya. – 15 April, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.