Tony Pua berkata Low Taek Jho separuh betul dalam kenyataannya bahawa keputusan terakhir dalam 1MDB adalah di tangan perdana menteri.
Polis perlu segera memanggil Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan ahli perniagaan Low Taek Jho berhubung isu syarikat pelaburan strategik milik Kementerian Kewangan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata DAP.
Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata PDRM perlu segera menjalankan siasatan terhadap dua individu berkenaan, seperti dilakukan mereka terhadap pimpinan pembangkang sebelum ini.
"Kami menggesa PDRM menjalankan siasatan penuh bagi menghukum mereka yang melakukan jenayah terhadap pembayar cukai di Malaysia.
"Malah, kami juga ingin bertanya, mengapa Najib dan Jho Low tidak dipanggil polis untuk melakukan penyiasatan, seperti yang dilakukan mereka terhadap pemimpin pembangkang dan aktivis," kata Pua, yang juga merupakan ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, dalam kenyataannya malam tadi.
Pua berkata, apa yang dikatakan Low dalam wawancaranya bersama sebuah majalah kewangan bahawa segala keputusan akhir dalam 1MDB ditentukan perdana menteri dan menteri kewangan yang dipegang Najib adalah benar.
"Menariknya, Jho Low seolah-olah tahu keputusan dalam 1MDB dilakukan melalui 'resolusi pemegang saham' dan ditandatangani menteri sendiri. Jadi, Najib tidak boleh cuci tangan daripada tanggungjawab terhadap 1MDB," katanya.
Low, yang juga dikenali sebagai Jho Low, dalam wawancara bersama majalah kewangan antarabangsa Euromoney dilaporkan berasa kecewa dipersalahkan sebagai punca skandal kewangan 1MDB.
Beliau bagaimanapun berkata, dirinya semestinya adalah "orang paling dungu" jika memperoleh hasil wang kerajaan Malaysia dan membelanjakannya untuk parti mewah.
"Disebabkan gambar saya dan Paris Hilton berparti, kamu jadikan isu Bumiputera: 'Oh, orang Cina itu curi semua duit dan bazirkannya dengan alkohol'.
"Saya fikir saya tentunya orang paling dungu, jika saya dapat wang kerajaan dan belanja sesuka hati, itu perkara paling dungu," katanya dalam temubual dengan majalah kewangan Euromoney edisi April.
Katanya, dirinya menjadi mangsa politik Malaysia apabila dijadikan sasaran utama, sedangkan pihak lain yang bertanggungjawab terlepas daripada tindakan.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata, dia terpaksa bersuara kerana berasa isu 1MDB semakin mengarut.
"Mereka menuding jari ke arah saya seolah-olah cuba mengatakan: 'Ini semua salah anak muda Cina ini. Disebabkan dia, 1MDB gagal kerana dia yang menasihati PM dan sekarang semuanya gagal'."
Low pada Mac lalu menafikan terlibat dalam pengubahan wang haram dan penipuan dalam 1MDB.
Katanya, hala tuju 1MDB diputuskan dan diluluskan sepenuhnya mengikut rangka pentadbiran korporat, yang melibatkan pengurusan, lembaga pengarah dan pemegang saham.
"Jadi kenapa mempolitikkannya dan cuba menyalahkan saya sedangkan saya tidak ada kuasa membuat keputusan?"
Low ketika ditemu bual Euromoney di Hong Kong juga menyalahkan Umno menjadi dalang cuba memutarbelitkan isu.
"Jho Low bagaimanapun hanya separuh betul, kerana beliau sendiri tidak boleh lepas tangan daripada 1MDB," kata Pua, dalam kenyataannya, dan menambah, terdapat bukti komunikasi emel antara Jho Low, Petrosaudi, dan 1MDB yang pernah didedahkan sebelum ini.
"Malah, jika 1MDB menyertai pelbagai perjanjian dengan pihak ketiga dengan berhati-hati, masih tetap akan mengalami kerugian, pesalah yang menipu 1MDB perlu diambil tindakan!" kata Pua. – 15 April, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.