Followers

Tuesday, March 10, 2015

Saya juga akan isytihar harta, kata Azmin OLEH MOHD FARHAN DARWIS

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata akan isytihar harta sejajar ketetapan Pakatan Rakyat.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata akan isytihar harta sejajar ketetapan Pakatan Rakyat.

YAB Mohamed Azmin Ali akan membuat pengisytiharan harta terkininya selepas beliau dilantik Menteri Besar Selangor September tahun lalu.

Timbalan presiden PKR itu berkata, beliau pernah mengisytihar hartanya, selaras dengan ketetapan dalam Pakatan Rakyat (PR), pada sekitar tahun 2008 sebelum dilantik menjadi menteri besar.

"Saya memang sudah buat, itu memang ketetapan dalam PR. Saya sudah buat pada 2008. Selepas jadi menteri besar, belum lagi," katanya ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

"Ya, saya akan isytihar kepada umum."

Azmin diminta mengulas tindakan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli yang mengisytiharkan hartanya secara terbuka kepada umum selepas didesak oleh pemimpin Umno.

Rafizi yang mengakui memiliki harta dan simpanan melebihi nilai hutangnya, menyarankan presiden Umno merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggunakan kaedah sama bagi membersihkan namanya yang dikaitkan dengan kemewahan tidak berpadanan dengan gaji.

"Jika benar beliau mewarisi harta yang banyak daripada Allahyarham Tun Abdul Razak seperti kenyataan Pejabat Perdana Menteri, maka beliau perlu memperincikan setiap harta warisan itu sepertimana saya memperincikan harta saya.

"Saya yakin langkah mengisytiharkan harta sebegini disokong sepenuhnya rakyat," kata ahli Parlimen Pandan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan itu beliau turut mendedahkan akuan berkanun pengisytiharan harta yang dilakukannya hari ini dengan memperincikan segala harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaannya sebagai ahli Parlimen.

Minggu lepas, Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mencabar pimpinan PR membuat pengisytiharan harta sebelum mengkritik kekayaan Najib dan pimpinan Barisan Nasional (BN) yang lain.


Syed Ali dilaporkan memberi contoh gaya hidup Azmin dan isterinya yang sebelum ini didakwanya "memiliki aset yang meragukan". – 9 Mac, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.