Mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat dilihat
sebagai medan untuk menyelesaikan perbalahan di antara pemimpin
parti-parti komponennya.
Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Eksekutif Sekretariat Pakatan Rakyat, Shabrimi Sidek berkata, mesyuarat itu akan diadakan di Pejabat Agung PAS pada pukul 2.30 petang.
Mesyuarat itu diadakan dua hari sebelum Mahkamah Persekutuan membacakan keputusan kes liwat kedua Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Februari ini, lapor mStar Online.
Ia juga dilihat sebagai medan penyelesaian perbalahan yang wujud antara Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berhubung kontroversi pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Mesyuarat tersebut dijangka dihadiri semua kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat yang akan membincangkan perkara berbangkit mengenai Pakatan Rakyat.
“Sekretariat percaya ini akan seterusnya mengukuhkan persepakatan semua parti dalam Pakatan Rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa malam.
Sementara itu Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat mengesahkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan turut hadir di dalam mesyuarat tersebut.
“Perkara itu ada di dalam perancangan PAS, dan InsyaAllah Hadi akan datang. Namun kita juga tidak menolak sekiranya Hadi tidak datang atas faktor keuzuran. Itu hanya perancangan.
“Saya juga akan hadir dan ketua pemuda PR yang lain seperti Nik Nazmi Nik Ahmad dan Teo Kok Seong juga akan hadir bagi membawa dan menyuarakan pandangan,” katanya ketika brucap di dalam forum ‘Pakatan Rakyat, Masihkah ada harapan?” anjuran Lensa Anak Muda Malaysia (LENSA) yang diadakan di Dewan Gerak Budaya itu.
Free Malaysia Today
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.