Followers

Friday, February 20, 2015

PAKATAN RAKYAT AKAN MENANG MUDAH DI PERMATANG PAUH ??


Undi simpati sukarkan laluan BN di Permatang Pauh, kata Gerakan

OLEH YASMIN RAMLAN

Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong berharap pengundi pada Pilihan Raya kecil Permatang Pauh memberi peluang kepada Barisan Nasional walaupun menyedari ia sukar kerana akan ada undi simpati terhadap Pakatan Rakyat. –

Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong berharap pengundi pada Pilihan Raya kecil Permatang Pauh memberi peluang kepada Barisan Nasional walaupun menyedari ia sukar kerana akan ada undi simpati terhadap Pakatan Rakyat. –

Barisan Nasional (BN) akan melalui kesukaran dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh akan datang kerana unsur simpati di kalangan pengundi akan memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat (PR), kata Gerakan.

Menyedari kenyataan itu, presidennya Datuk Mah Siew Keong berkata, parti komponen BN tersebut akan memberi sokongan padu kepada parti pemerintah bagi memenangi kawasan Parlimen di Pulau Pinang itu.

"Saya berharap pengundi memberi BN peluang. Seperti yang saya katakan, ia akan menjadi sukar kerana akan ada undi simpati.

"Sekiranya (BN) menang, ia dapat memberi kami peluang menjelaskan pelbagai isu semasa negara," katanya kepada media pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina Gerakan di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini.

Mah berkata, secara peribadi beliau berpendapat BN tidak perlu bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Chempaka di Kelantan berikutan kematian penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bekas mursyidul am PAS.

Tetapi, keadaan berbeza di Permatang Pauh kerana kemenangan BN di kawasan Parlimen milik PKR di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan memberi peluang kepada BN menjelaskan situasi politik kepada pengundi.

"Saya rasa di Permatang Pauh ia tetap akan menjadi kerusi BN, dan kami menghormatinya. Dan kami di Gerakan akan sentiasa memberi sokongan," kata Mah.

Mengambil contoh PRK Teluk Intan pada 31 Mei 2014, beliau yakin BN akan menunjukkan prestasi lebih baik dalam PRK di Pulau Pinang itu nanti.

"Kita tidak akan berputus asa begitu sahaja. Sebab, di Teluk Intan kita ada contoh di mana dahulu kita kalah 7,000 undi, tetapi kerana parti komponen dapat bekerjasama, kita menang.

"Yang penting, antara parti komponen dan dalam parti. Kita cuma tidak mahu ada masalah dalam parti," katanya.

PRK itu menyaksikan Mah menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang, daripada DAP.

Mah memperoleh 20,157 undi berbanding Dyana 19,919 undi. Penyandang di Teluk Intan ialah Seah Leong Peng daripada DAP yang meninggal dunia awal Mei 2014.

Isnin lalu, Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Mohd Hatta Ramli menyarankan BN konsisten dalam keputusannya tidak mahu bertanding di kerusi DUN Chempaka, dengan turut tidak bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Katanya, BN pada tahun lepas menyifatkan PRK Kajang sebagai pembaziran dan membebankan rakyat, dan hujah tersebut seharusnya masih diterima pakai.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, BN tidak perlu bertanding di Chempaka, atas alasan memelihara kerjasama yang baik antara BN dengan PAS di Kelantan dalam usaha pemulihan pasca banjir.

Khairy bagaimana pun berkata, BN perlu bertanding di Permatang Pauh, ekoran sabitan kesalahan kes liwat terhadap Anwar pada 10 Februari.

Suruhanjaya Pilihan Raya hanya akan mengumumkan status kerusi Parlimen Permatang Pauh selepas 14 hari Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman ke atas penyandangnya.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, tempoh tersebut bagi menanti keputusan pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong dan semakan kehakiman yang akan dilakukan ketua pembangkang itu.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai krisis dalaman MIC, Mah berkata MIC juga salah satu komponen BN yang penting dan sekiranya ahlinya bersatu, BN juga akan menjadi kuat.

"Saya pasti ia diselesaikan secepat mungkin dan mereka akan bersatu semula," katanya. – 19 Februari, 2015.

 http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.