Followers

Friday, February 20, 2015

Ada Pemimpin Umno Bakal Cabut Lari Isnin Ini?


PAS akan mengadakan satu sesi telesidang selama 15 minit bersama bekas komando polis Sirul Azhar Umar yang berada di Australia pada Isnin ini, kata Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar.

Melalui sesi tersebut, yang menghubungkan komunikasi antara peserta di tempat yang berasingan, Mahfuz berkata, Sirul akan berkomunikasi secara terus dengan media tempatan.

Bagaimanapun, butiran terperinci mengenainya masih belum diketahui, katanya pada satu sidang media di ibu pejabat parti PAS di Kuala Lumpur hari ini.

Pada masa sama, Mahfuz turut mengumumkan yang ibu kepada Sirul akan ke Australia melawat anaknya di pusat tahanan tidak lama lagi.Katanya, persiapan seperti tiket penerbangan sudah dibeli dan hanya menunggu kelepasan visa.

"Tiket sudah siap tetapi saya tidak boleh umumkan bila tarikhnya. Buat masa sekarang kami sedang menunggu visa."Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu, yang disabitkan bersalah dalam kes pembunuhan model Mongolia Altantuya Shariibuu, dikatakan lari daripada hukuman gantung dan kini berada di Australia.

Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari lalu menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul dan rakan setugasnya, Ketua Inspektor Azilah Hadri, kerana bersalah membunuh Altantuya pada 18 Oktober, 2006 di pinggir bandar Shah Alam.

Mahfuz juga berkata, selain telesidang bersama media tempatan yang dijadualkan pagi Isnin ini, Sirul juga turut menunggu masa yang sesuai menjemput semua media Malaysia dan antarabangsa ke pusat tahanannya di Australia itu.

"Beliau akan memberikan komitmen. Hanya menunggu waktu yang sesuai. Beliau akan memaklumkan pada saya untuk diumumkan kepada media."Ia bertujuan supaya adil untuk semua media, dan agar beliau dapat berdepan secara terus dengan mereka," katanya.

Addin

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.