Followers

Wednesday, February 25, 2015

Mokhtar Senik Hanya Layak Digelar "Ular Dalam Semak" dalam PAS

 

Beberapa hari yang lepas saya telah diforwardkan sebuah tulisan melalui WhatsApp yang kononnya datang dari Mokhtar Senik iaitu Ketua Dewan Ulama PAS Pahang. 


Dalam tulisan ini nama saya telah disebut beberapa kali sebagai salah seorang yang ingin memalukan TGHH dengan tujuan menjatuhkannya. 

Saya harap tulisan itu bukan datangnya dari Mokhtar Senik dan saya yakin beliau sebagai Ketua Dewan Ulama Pahang tidaklah sebodoh itu. Ianya tulisan yang hanya layak dikeluarkan oleh seorang Ketua Dewan Juhala’ bukan Ketua Dewan Ulama’.

Namun demikian, walaupun saya yakin ianya bukan dari Mokhtar Senik, biarlah saya jawab tuduhan tersebut satu persatu. 


Dan untuk memudahkan, biarlah saya gunakan gelaran ‘MS’ semasa menjawab. Ianya tidak ditujukan kepada Mokhtar Senik kerana saya tidak tahu dengan pasti ianya tulisan beliau, walaupun setakat ini masih tiada sebarang penafian yang dikeluarkan oleh beliau.

1. KENYATAAN 10 AHLI PARLIMEN MENYOKONG KENYATAAN TGNA

Peristiwa ini berlaku pada bulan Julai 2009. TGNA telah mengeluarkan kenyataan menolak sebarang usaha kerjasama dengan UMNO/BN termasuk Unity Government dan menyeru PAS mengukuhkan PR sepertimana yang diputuskan dalam Muktamar 2009 yang baru sahaja belalu. 


Menyahut seruan TGNA, maka 10 Ahli Parlimen membuat kenyataan menyokong seruannya.

Mengikut MS, kenyataan menyokong TGNA adalah bertujuan memalukan TGHH. Maka MS seolah-olah mendakwa beliau kasyaf dan tahu niat sebenar 10 Ahli Parlimen PAS tersebut, iaitu bukan untuk menyokong TGNA sangat tetapi untuk memalukan TGHH! Tidak sangka saya, keluarkan kenyataan menyokong TGNA pun dianggap salah! 


Dan sekiranya menyokong kenyataan TGNA memalukan TGHH, maka adakah dimaksudkan TGNA juga ingin memalukan TGHH melalui kenyataannya! Dakwaan bodoh!

Adakah kau lupa, wahai MS, apa yang telah berlaku sebelum itu, iaitu pendedahan Abdullah Badawi bahawa adanya rundingan rahsia dengannya oleh wakil PAS; permohonan maaf Dato Mahfuz kepada semua ahli PAS kerana membuat penafian adanya rundingan dengan UMNO, sedangkan ada; dan sebagainya. 


Akhirnya Nasharuddin dan Mustapha Ali, kalau tidak silap saya, dimarahi TGNA dan mereka berdua memohon maaf. Tiada pula TGHH dianggap terbabit. (Sila tonton video di bawah ini).

Bagaimana MS mengaitkan isu ini dengan TGHH saya pun tidak tahu. Kalau TGHH terlibat maka sudah pasti TGHH pun turut minta maaf dan beliau akan pertahankan Nasharuddin apabila digugurkan dari Majlis Syura Ulama. Akan tetapi tidak. Tiada siapa mengaitkan TGHH dalam isu ini kecuali MS. Oleh itu, bukan kami yang ingin memalukan TGHH tetapi sebaliknya MS sendiri dengan mengaitkan TGHH dalam isu ini.

Hakikat bahawa kisah yang berlaku pada 2009 turut diungkit kembali menunjukkan betapa terdesaknya MS untuk membuat ‘kes pertuduhan’ terhadap saya dan 9 orang Ahli Parlimen. Itu pun atas hujjah bodoh iaitu kesalahan menyokong kenyataan TGNA! 


Kalau bawa ke mahkamah bebas, sudah pasti dibuang kes. Lagipun sejak 2009, TGHH telah menang tanpa bertanding jawatan Presiden dalam muktamar 2011 dan 2013. Maka bagaimana ingin dikaitkan dengan dakwaan adanya usaha menjatuhkan DS Presiden sejak 2009 lagi? Sekiranya benar dakwaan tersebut, tidakkah sepatutnya pada 2011 ada yang mencabar Presiden?

2. SEMINAR KHAS UNTUK PERLEKEHKAN DS PRESIDEN

MS sebut juga satu seminar khas yang dakwanya diadakan khas untuk memperlekehkan dan memalukan DS Presiden. 


Ianya diadakan pada 2009 juga dan di Dewan KUIZM, Markas PAS Taman Melewar. Pembentang kertas kerja adalah Professor Dr. Abu Hassan dan Professor Dr. Aziz Bari. Kedua-dua pembentang kertas kerja mendedahkan kelemahan DS Presiden di depan ahli PAS secara terbuka dan amat sangat memalukan DS Presiden.

Adakah kau lupa, wahai MS, seminar itu merupakan seminar tertutup. Khas untuk pimpinan sahaja. Tiada wartawan dan tiada media. Ianya seminar khas bertujuan mengenal pasti kelemahan PAS dan pimpinannya dari kaca mata masyarakat umum. 


Ianya bertujuan untuk mengenal pasti kelemahan PAS yang perlu diatasi supaya PAS boleh berperanan dengan lebih cemerlang lagi sehingga menjadi pemimpin kepada PR. 

Maka penerimaan terhadap PAS oleh masyarakat umum dikemukakan berdasarkan culaan yang dilakukan dan seterusnya tindakan yang perlu diambil.

Dalam erti-kata lain, sememangnya PAS ingin mendengar kritikan dan teguran supaya kita dapat perkukuhkan kedudukan kita. 


Oleh itu kita tidak bolehlah merasa terkejut atau tersentak dengan laporan yang diterima. Namun, apa yang dilaporkan tidak semestinya kesemuanya dipersetujui.

Saya tahu, MS jenis yang tidak biasa mendengar kritikan dan teguran. MS lebih selesa sekiranya terus dan sentiasa disajikan halwa telinga iaitu puji-pujian dan dilambung tinggi. 


Gelaran ulama’ dan waris para nabi sentiasa ingin diulang-ulangkan. Maaf, walaupun itu mungkin kesukaan MS tetapi bagi kami, mencari formula yang boleh melonjakkan imej PAS sebagai parti Islam yang membela semua golongan yang tertindas di dalam masyarakat adalah lebih penting. 

Oleh itu teguran dan kritikan lebih bernilai dan diinginkan dari pujian yang melambung-lambung. Berhati-hati dengan puji-pujian.

Saya masih ingat bahawa walaupun TGHH sememangnya tersentak dengan sikap berterus-terang dua pembentang kertas-kerja tersebut, namun beliau tetap setia menulis segala yang ditegur mereka. 


Beliau tidak melihatnya sebagai serangan peribadi tetapi teguran berhubung kelemahan yang perlu diatasi. Ada yang diterima dan digunapakai, ada juga yang ditolak atas sebab tertentu.

Walau apa pun, peristiwa seminar ini lebih menaikkan imej DS Presiden di kalangan pimpinan yang hadir dari menjatuhkan imej beliau. DS Presiden dilihat sebagai pemimpin yang sanggup mendengar teguran dan kritikan, sebahagiannya berhubung diri DS Presiden sendiri dan ini adalah sifat yang terpuji bukan sifat yang keji. Tapi MS tidak akan mampu faham hujjah ini.

Bagi otak yang semacam MS, hanya puji-pujian sahaja yang bernilai. Sesiapa menegur dan mengkritik, dia musuh dan mesti dijatuhkan walaupun melalui fitnah yang keji. Fitnah menjadi halal dan diharuskan MS menjadikan PAS parti yes-man, pembodek dan pengampu? 


Buatlah parti sendiri, jangan rosakkan PAS. Sejak bermulanya kepimpinan ulama dalam PAS pada 1982, PAS telah menjadi parti yang sentiasa terbuka untuk ditegur dan dikritik. Itulah hasil latihan ulama sebenar.

Sekali lagi peristiwa yang sudah berlalu hampir 6 tahun lepas yang diungkitkan. Ini jelas membuktikan betapa terdesaknya golongan ini untuk mencanangkan propoganda palsu bahawa ada komplot tersusun rapi sejak 2009 untuk menjatuhkan DS Presiden. Sambil mereka pula adalah penyokong DS Presiden yang tulin. Maka undilah mereka demi DS Presiden!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.