Followers

Tuesday, February 3, 2015

Gadis maut dikelar teman lelaki di tepi lebuh raya ??


GAMBAR HIASAN:


Seorang gadis meninggal dunia selepas dikelar di bahagian leher oleh teman lelakinya di tepi Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang dekat Taiping hari ini.
   
Susulan kejadian itu, Nursyuhada Johari, 17, segera dihantar ke Hospital Kuala Kangsar namun disahkan meninggal dunia kira-kira 2 petang.
   
Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping Supt Ismail Che Isa berkata beberapa saksi yang melihat kejadian itu berkata pasangan itu dilihat bergaduh di dalam sebuah kereta Proton Perdana di tepi lebuh raya itu pada 12.30 tengah hari tadi.

"Gadis itu kemudian dilihat terjatuh dari kereta berkenaan... terdapat kesan luka pada bahagian lehernya akibat dikelar dengan pisau," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
   
Beliau berkata orang ramai yang melihat kejadian itu segera menahan lelaki berkenaan dan menyerahkannya kepada pihak polis.
   
Polis sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
   
Sementara itu, seorang pemandu lori sebuah kilang membuat kabel di Taman Perindustrian Bemban dekat Batu Gajah meninggal dunia berikutan kejadian samun di kilang berkenaan awal pagi tadi.
   
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Shaharon Anuar Abdul Latif berkata V Arunasalam, 62, yang berasal dari Seremban meninggal dunia akibat serangan jantung dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu.
   
Beliau berkata dalam kejadian itu, seramai tujuh pekerja serta dua pengawal keselamatan diikat dan dikurung dalam sebuah kontena.
   
Suspek dipercayai terdiri daripada kira-kira 15 lelaki bersenjatakan parang, katanya.
   
Suspek melarikan 12 telefon bimbit, wang tunai lebih kurang RM3,500, dua televisyen LCD, set home teater dan barang kemas, yang kesemuanya merupakan milik pekerja.
   
Sebanyak 15 gulung kabel turut dilarikan, katanya.

Sementara itu, mayat seorang lelaki yang telah mereput ditemui di sebuah rumah kedai di Taman Kimsar di Butterworth malam tadi.
   
Mayat Mohd Hasrulhakim Abd Rahman, 27, ditemui dalam keadaan terlentang dan hanya berseluar dalam oleh pemilik rumah berkenaan pada jam 8.10 malam.
   
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Rusli Mohd Noor berkata kali terakhir lelaki itu, yang bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat di Seberang Jaya, dilihat ialah pada Rabu lepas.
   
"Lelaki berkenaan menyewa bilik di tingkat dua rumah itu. Menurut pemilik rumah, beliau terpaksa memecahkan pintu bilik lelaki itu apabila terhidu bau busuk dari bilik itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
   
Menurutnya berdasarkan pemeriksaan  forensik, lelaki itu dipercayai meninggal dunia sejak tiga hari lepas dan keadaan mayatnya juga berulat dan mereput.
   
Pemilik rumah berkenaan berkata lelaki itu dilihat kurang sihat, kurus dan badan berbau busuk dipercayai mengalami masalah kesihatan.
   
Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
   
- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.