Followers

Tuesday, February 3, 2015

IGP: Saya akan panggil ketua editor Mkini

 
 
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mendakwa Malaysiakini cuba melaga-lagakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan Malaysiakini hari ini bahawa beberapa pegawai polis mengejek tindakan Zahid menghantar surat kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat (AS) berkaitan 'raja judi' Paul Phua Wei Seng.

"Saya ingin memanggil ketua editor Malaysiakini (untuk disoal siasat). Ini (artikel) satu perbuatan yang cuba melaga-lagakan PDRM dan menteri.

"Ini tak boleh dibiarkan. Kalau (perkara) ini terus dimainkan oleh Malaysiakini, dia sengaja mengundang masalah. Jadi, janganlah nak melaga-lagakan PDRM dengan menteri atau dengan sesiapa juga.

"Nak lapor perkara fakta, laporlah. Kalau ada pegawai polis (yang tak setuju) beritahu saya siapa mereka. Siapa mereka yang cakap mengenai perkara ini?

"Saya minta berhati-hati dalam melaporkan perkara seperti ini," katanya kepada pemberita di Putrajaya.

Malaysiakini hari ini melaporkan terdapat beberapa pegawai polis secara terbuka mengkritik Zahid yang menulis surat sokongan untuk Phua kepada FBI walaupun dia dikaitkan dengan sindiket judi haram.

Phua pernah disabitkan kesalahan jenayah di Miri, Sarawak pada 2004 semasa perlawanan Piala Euro di Miri.

Phua kini sedang menghadapi perbicaraan di Amerika Syarikat atas tuduhan terlibat dengan operasi judi haram besar-besaran di Caesar's Palace, sebuah hotel lima bintang di Las Vegas, AS pada Julai lepas.

Berikutan itu, Zahid menulis kepada FBI bahawa bahawa Phua tidak mempunyai hubungan dengan kongsi gelap 14K dan membantu Malaysia dalam urusan keselamatan negara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.