Followers

Tuesday, February 3, 2015

ISMA jawab Tariq: Ikut fatwa bukan taksub

 
 
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, merujuk kepada fatwa merupakan mekanisme biasa dalam konteks perundangan Islam.

Sehubungan itu,  menjawab kenyataan sarjana terkemuka dunia Islam Prof Tariq Ramadan, Abdullah berkata, tidak wajar menggelar pihak yang merujuk fatwa sebagai taksub.

"Saya fikir kita menggelarkan orang yang rujuk pada fatwa sebagai taksub, itu tak betul.

"Seolah-olah memberi imej negatif kalau kita merujuk kepada fatwa.

"Kita  jangan anggap rujuk fatwa dianggap taksub. Tetapi itu mekanisme biasa dalam konteks perundangan Islam," katanya.

Semalam, Tariq (atas), profesor Pengajian Kontemporari Islam di Universiti Oxford, menasihatkan umat Islam supaya tidak terlalu taksub dengan fatwa.

Bercakap di Kuala Lumpur,  cucu kepada pengasas gerakan Islam berpengaruh Ikhwanul Muslimin Hassan Al-Banna itu, berkata umat Islam juga perlu membangunkan pendapat sendiri.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Abdullah membangkitkan keadaan yang mana  tidak semua individu mampu membuat hukum atau berijtihad sendiri sendiri dalam sesuatu perkara.

“Yang tak mampu berijtihad boleh ikut fatwa. Jadi, kita dalam syariat ada kelonggaran begitu. Tak boleh paksa semua orang supaya berijtihad.

"Saya tak faham kenapa dia (Tariq) kata taksub. Dalam syariat Islam, kita biasa sahaja dan saya rasa jabatan agama Islam kita ini adalah yang terbaik," katanya lagi.

'Bimbang suasana kelam kabut'

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Ismail Mina Ahmad pula berpendapat, fatwa merupakan perkara yang mesti diikuti bagi masyarakat Islam.

Walaupun Islam tidak menghalang untuk bertukar pandangan dan pendapat, namun katanya, perkara itu juga perlu diteliti.

"Fatwa berdasarkan alim ulama. Kalau beri pendapat, itu isu lain. Pendapat itu, kalau bercanggah dengan fatwa ia tak dapat diamalkan oleh orang ramai.

"Kita bercakap dalam bingkai agama, kalau pendapat mengenai teori sosial atau politik tidak ada masalah. Kalau ia berkaitan akidah dan hukum-hakam Islam, di situ akan memberi masalah,” katanya.

Ismail Mina (atas) juga berkata jika semua orang memberi pendapat bercanggah dengan fatwa, suasana akan menjadi kelam kabut.

“Orang macam ini (keluarkan pandangan sesuka hati) perlu disekat daripada memberi pendapat yang bercanggah.

“Bukan soal bimbang mempengaruhi sahaja, tetapi ditakuti kefahaman agama mereka ini terpesong dengan ajaran yang difatwakan," katanya.
 
 
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.