Followers

Saturday, February 14, 2015

Calon Terbaik Ini Bakal Jadi Ketua Pembangkang

Wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin berpendapat sekiranya mahu kekal kelangsungan dalam politik tanah air Pakatan Rakyat (PR) perlu segera melantik Mohamed Azmin Ali sebagai ketua pembangkang kerana menteri besar Selangor itu mampu untuk memudakan gabungan itu.

Kadir berkata, meskipun Lim Kit Siang yang merupakan veteran DAP antara yang paling sesuai untuk jawatan tersebut, ahli PAS berkemungkinan akan terasa disisihkan sekiranya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak dipertimbangkan.

"Yang lebih layak adalah Lim Kit Siang kerana partinya mempunyai paling ramai anggota dalam Parlimen di kalangan komponen PR, iaitu 38, tetapi kalau Abdul Hadi tidak dipertimbangkan, ahli PAS pula akan berasa disisihkan.

"Kalau Mohamed Azmin dilantik Ketua Pembangkang ia akan memudakan lagi kepemimpinan PR dan ini akan memberi rangsangan tambahan kepada generasi muda menyokong PR," katanya, dalam posting blognya, hari ini.

Kadir berkata, sekiranya PR mahu menumpang pedati kepopularan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menunjukkan setia kawan kepada beliau, mereka akan memberi hak “first right of refusal” menolak pelantikan sebagai ketua pembangkang kepada PKR.

"PR memerlukan ketua yang berwibawa bagi meneruskan kelangsungan dalam suasana di mana parti-parti anggota masih berbalah mengenai isu-isu ideologi dan dasar.

"Keputusan perlu dibuat segera kerana mesyuarat pertama Dewan Rakyat tahun ini akan bermula 9 Mac ini," katanya.

Anwar dijatuhkan hukuman penjara lima tahun apabila Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapatinya bersalah kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

"Sepanjang mengenali Anwar, penjara sudah menjadi darah dagingnya. Bagi beliau, tidak ada keadaan yang tidak menjanjikan kemungkinan. Beliau berpegang kukuh kepada frasa 'politics is the art of the possible'," kata Kadir.

Tambahnya, PR memerlukan ketua yang boleh meyakinkan pengundi dan rakyat jelata mengenai kelayakannya memimpin negara.

"Di negara-negara demokrasi matang yang berasaskan model Westminster, jawatan Ketua Pembangkang sangat penting kerana penyandang akan dilihat sebagai Perdana Menteri bayangan atau Perdana Menteri menanti.

"Sejak Anwar keluar penjara pada tahun 2004 dan kembali menjadi Ahli Dewan Rakyat pada tahun 2008, beliau adalah pilihan natural sebagai Ketua Pembangkang Parlimen. Beliau dilantik Ketua Pembangkang pada Ogos 2008," katanya.

Sebelum itu jawatan Ketua Pembangkang disandang Hadi bermula 2002 hingga 2004, sebelum disandang Lim Kit Siang daripada 2004 hingga 2008 dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail antara Mac hingga Julai 2008.

"Jadi pengganti Anwar tidak semestinya daripada PKR. Dr Wan Azizah tidak layak kerana beliau bukan ahli Parlimen dan Azmin  mungkin 'tidak sesuai' kerana masih 'junior' dan mempunyai beban berat sebagai Menteri Besar Selangor walaupun beliau juga Ahli Parlimen Gombak," kata Kadir.
 
 
Addin

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.