Followers

Saturday, February 14, 2015

AP desak 1MDB dedah terma pinjaman RM2 bilion daripada Ananda

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua mempersoalkan faktor yang menyebabkan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda meminjamkan RM2 bilion kepada 1MDB.
Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua mempersoalkan faktor yang menyebabkan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda meminjamkan RM2 bilion kepada 1MDB.

Syarikat pelaburan strategi negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu mendedahkan terma penuh pinjaman 'peribadi' luar biasa daripada hartawan Tan Sri Ananda Krishnan untuk menyelesaikan pinjaman RM2 bilion yang tertunggak, kata Tony Pua.

Setiausaha Publisiti DAP itu berkata, 1MDB dalam kenyataan semalam tidak menyatakan pinjaman RM2 bilion itu dilangsaikan secara luar biasa oleh Ananda dengan serta-merta.

"Perlu dipersoalkan, apakah yang menyebabkan Ananda bersetuju dengan pinjaman RM2 bilion itu? Walaupun rakyat Malaysia baik hati, pemurah dan pemaaf, tiada yang boleh membayangkan seorang hartawan memberikan pinjaman berbilion ringgit kepada anak syarikat milik penuh kerajaan tanpa ada ikatan.

"Apa terma pinjaman, kadar faedah dan syarat lain yang relevan? Kali terakhir 1MDB membuat pinjaman dengan jaminan 'pemurah' oleh International Petroleum Investment Corporation milik kerajaan Abu Dhabi, 1MDB terpaksa menawarkan pilihan kuasa syarikat mereka bernilai sekurang-kurangnya US$250 juta ," katanya dalam kenyataan semalam.

Presiden yang juga Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda dalam kenyataannya semalam berkata, pinjaman RM2 bilion berjaya dilangsaikan kepada bank tempatan sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Namun Pua menyanggah kenyataan Arul itu dengan mempersoalkan 3 tempoh tunggakan yang diberikan 1MDB sejak November 2014.

 

"Arul Kanda lupa menyebut mereka mendapat 3 tempoh lanjutan sejak November 2014, tidak mengambil kira pinjaman RM2 bilion datang daripada pinjaman tertunggak RM5.5 bilion yang tidak dapat dibayar semula 1MDB pada November 2013, sebelum penstrukturan semula kepada pinjaman RM3.5 bilion dalam tempoh 10 tahun serta pinjaman jangka pendek RM2 bilion," katanya.

Ahli Petaling Jaya Utara itu berkata, rakyat Malaysia tidak akan berminat untuk tahu mengenai perjanjian peribadi antara peminjam dengan pemberi sekiranya anak syarikat di bawah Kementerian Kewangan itu ialah syarikat swasta.

Katanya, isu itu belum selesai kerana baki pinjaman RM3.45 bilion daripada jumlah keseluruhan hutang RM42 bilion akan tamat tempoh pada September depan.

Jelasnya, itu tidak termasuk kos pembiayaan tahunan yang dianggarkan berjumlah RM2.4 bilion berdasarkan laporan penyata kewangan syarikat 2014.

"Disebabkan itu, amat penting 1MDB dapat mendedahkan maklumat rahsia dan konsesi penting yang diberikan kepada Ananda untuk menyelesaikan pinjaman RM2 bilion.

"Memandangkan Arul Kanda mengalu-alukan penelitian umum sebagai satu perkara baik yang akan dapat mengukuhkan lagi pentadbirannya, kami pasti akan terus mendesak 1MDB bersikap jujur dan telus dalam hal ini," katanya.

Laporan The Malaysian Insider semalam memetik kenyataan sumber mengatakan 1MDB membayar hutang RM2 bilion semalam dengan Ananda, 6 hari sebelum bank menggerakkan peningkatan risiko kegagalan atau “event of default” (EOD).

The Malaysian Insider difahamkan melalui pegawai bank yang dekat dengan kes ini, bank menerima wang petang kelmarin, beberapa jam selepas Ananda bersetuju menyelamatkan syarikat itu.

Hutang RM2 bilion itu ditanggung syarikat Ananda Usaha Tegas, kata sumber yang tahu tentang rundingan di antara Ananda dan 1MDB.

The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan tarikh akhir pembayaran pinjaman adalah pada 18 Februari.

Maybank memberikan 58.99% daripada pinjaman RM 2 bilion itu, manakala RHB memberikan 32.41%. Pemberi pinjaman lain ialah Alliance Investment Bank Bhd (4.06%), Malaysia Building Society Bhd (3.24%) dan Hwang DBS Investment Bhd (1.29%).

1MDB yang memiliki portfolio loji jana kuasa besar sudah terlepas tarikh akhir pembayaran pinjaman pada Disember dan pemberi pinjamannya mahu melihat ia dibayar sebelum mereka terpaksa menghapus kira dalam pendapatan suku pertama, kata sumber. – 14 Februari, 2015.


The Malaysia Insider.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.