Followers

Saturday, January 24, 2015

Pembunuh Altantuya akan mohon pengampunan OLEH V ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA

Peguam mewakili Ketua Inspektor Azilah Hadri yang dijatuhi hukuman mati atas kesalahan membunuh Altantuya Shaariibuu akan memfailkan permohonan pengampunan secepat mungkin.

Peguam mewakili Ketua Inspektor Azilah Hadri yang dijatuhi hukuman mati atas kesalahan membunuh Altantuya Shaariibuu akan memfailkan permohonan pengampunan secepat mungkin

Ketua Inspektor Azilah Hadri, salah seorang daripada dua bekas komando yang dihukum mati kerana membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu akan memfailkan permohonan untuk mendapatkan pengampunan secepat mungkin.

Peguamnya Datuk Hazman Ahmad berkata beliau akan berjumpa anak guamnya minggu depan untuk mendapatkan arahan seterusnya sebelum menulis surat kepada peguam negara.

"Selain daripada proses undang-undang, ia merupakan hak Perlembagaan seorang pesalah untuk menulis kepada pihak berkuasa supaya dimaafkan daripada jenayah yang mereka lakukan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Hazman berkata pihaknya akan meneruskan tanpa berlengah lagi walaupun seorang lagi pesalah Korporal Sirul Azhar Umar melarikan diri.

Sirul dan Azilah bebas sejak 23 Ogos, 2013 apabila Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman bunuh mereka.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah mereka dan menjatuhkan hukuman mati kepada kedua-keduanya minggu lepas.

Bukti mendedahkan Altantuya, seorang penterjemah, dibunuh sebelum diledakkan dengan bom C4 pada 18 Oktober, 2006, di Shah Alam, berdekatan dengan Kuala Lumpur.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, penasihat Datuk Seri Najib Razak, didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul, tetapi dibebaskan Mahkamah Tinggi pada 2008 tanpa dipanggil membela diri. Pihak pendakwa tidak merayu terhadap pembebasan Razak.

Walaupun dengan sabit kesalahan, motif pembunuhan Altantuya masih tidak diketahui.

Sirul ke Australia Oktober lepas dan tidak hadir semasa Mahkamah Persekutuan membacakan keputusan mereka berdua disabitkan bersalah kerana membunuh.



Lelaki berusia 43 tahun itu dilaporkan ditahan di Brisbane, Australia 3 hari lepas, dan pihak berkuasa Malaysia sudah pun membuat permohonan rasmi supaya Sirul diekstradisi ke Malaysia.
Bagaimanapun, undang-undang Australia menyatakan seorang yang berdepan dengan hukuman mati di negara asalnya tidak boleh diekstradisi.

Sirul dilaporkan dibebaskan pihak berkuasa Imigresen Australia, tetapi pasportnya ditahan.

Peguam Sirul dijangka akan memfailkan cabaran undang-undang ke atas mana-mana cubaan untuk mengekstradisi Sirul dan pakar undang-undang sependapat, proses ini akan memakan masa yang lama.

Sementara itu, Hazman berkata akan menulis kepada Peguam Negara untuk mendapatkan pengampunan bagi anak guamnya yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh.

"Peguam Negara akan membentangkan kertas cadangannya ke Lembaga Pengampunan Selangor yang akan dipengerusikan Sultan" katanya dan menambah perkara itu akan dirujuk kepada Sultan kerana jenayah berlaku di dalam negeri.

Perlembagaan Persekutuan menyatakan yang lembaga tersebut perlu mempertimbangkan pendapat bertulis Peguam Negara sebelum menasihati pemerintah negeri.

Peguam M Visvanathan berkata, Sultan mempunyai budi bicara penuh untuk seorang penjenayah memohon pengampunan daripada hukuman mati.

"Kebiasaannya hukuman mati akan diturunkan kepada penjara seumur hidup sekiranya pengampunan diberi," tambahnya.

Sementara itu, New Straits Times (NST) melaporkan hari ini yang pihak berkuasa Australia sudah pun membebaskan Sirul dengan syarat dan pergerakannya di dalam negara itu dipantau.

"Pasportnya sedang ditahan, tetapi imigresen Australia melepaskannya atas beberapa syarat, termasuk menghadirkan diri sekiranya dipanggil pihak berkuasa di sana," kata seorang jurucakap Wisma Putra kepada NST.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata semalam yang Putrajaya secara rasmi meminta agar Australia menyerahkan Sirul yang melarikan diri ke sana Oktober lepas sebelum keputusan mahkamah dibacakan, yang mengekalkan hukuman mati kepadanya.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dilaporkan berkata perkara itu dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk penghantaran balik Sirul.

Media Australia sebelum ini melaporkan Sirul tidak akan dihantar balik kerana Canberra melarang penghantaran balik suspek yang berdepan dengan hukuman mati, mengakibatkan kemungkinan tarik-tali antara 2 negara.

Menteri Luar Australia Julie Bishop, yang berada di Washington, dilaporkan berkata beliau "bukan di dalam kedudukan untuk memberi apa-apa maklumat berhubung dengan perkara itu", atau bagaimana ia akan menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara. – 23 Januari, 2015.


www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.