Followers

Saturday, January 24, 2015

Peguam Negara minta hakim bersedia hadapi tahun lebih mencabar

Hakim dan peguam di Malaysia mungkin menghadapi keadaan lebih mencabar pada tahun akan datang, terutama berikutan peningkatan ancaman puak pelampau di negara ini, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) hari ini.

Menurut beliau, profesional dalam bidang perundangan perlu bersiap sedia untuk mengendalikan kes berkaitan keganasan, pelampau dan radikal yang mungkin dibawa ke mahkamah.

"Ancaman ini amat berbahaya dan paling sukar untuk ditangani.

"Ancaman seperti ini memerlukan respons tegas dan berani, tetapi waras, tenang dan berperikemanusiaan," katanya ketika berucap merasmikan tahun perundangan bagi Sabah dan Sarawak di Kota Kinabalu.

Gani memberi jaminan Jabatan Peguam Negara tetap komited untuk memberi nasihat perundangan berkualiti paling tingi dan membuat pendakwaan dengan secepat mungkin dalam kes keselamatan yang sedang dihadapi negara ini.

Kata beliau, ini termasuk perbicaran 30 orang yang dituduh melakukan pencerobohan di Lahad Datu dan penguatkuasaan Akta Pencegahan Jenayah 1959, yang diperluaskan ke Sabah dan Sarawak pada 2 April tahun lepas.

"Bagi tujuan ini, timbalan pendakwa raya residen ditempatkan di daerah utama seperti Lahad Datu, Sandakan dan Tawau untuk meningkatkan keyakinan orang ramai pesalah akan dihadapkan ke muka pengadilan dengan secepat mungkin," katanya.

Gani berkata tindakan lanjut juga dijangka diambil berikutan penguatkuasaan undang-undang imigresen Malaysia selepas keluarnya laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin di Sabah bulan lepas.

Mengenai saranan pihak tertentu agar Sabah dan Sarawak berpisah daripada Malaysia, beliau menegaskan  di samping bersifat menghasut, tindakan itu bercanggah dengan semangat federalisasi.

"Kontrak sosial dengan Sabah adalah berlandaskan syarat yang terkandung dalam Perjanjian 20 Perkara, manakala dengan Sarawak pula berlandaskan Perjanjian 18 Perkara. Kedua-duanya diambil kira oleh Suruhanjaya Antara Kerajaan yang dibentuk atas syor Suruhanjaya Cobbold pada 1962.

"Ini fakta sejarah. Ia tercatat secara berkekalan dalam laporan suruhanjaya itu. Ia perlu dibaca dan difahami dengan sewajarnya oleh generasi rakyat Malaysia seterusnya," kata beliau.

Sementara itu, Gani berkata terdapat keperluan untuk melantik mereka yang benar-benar layak untuk menjadi hakim Mahkamah Pribumi bagi mengendalikan kes berkaitan Hak Adat Pribumi (NCR) terhadap tanah.

Sambil menyatakan persetujuan beliau terhadap cadangan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum pada Simposium Hak Adat Pribumi Sabah pada September 2013, beliau berkata hakim yang dilantik perlulah terdiri daripada mereka yang memiliki kelayakan dalam bidang undang-undang serta memahami dengan mendalam undang-undang pribumi dan bersikap adil, agar Mahkamah Pribumi mempunyai kedudukan yang setara dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. – Bernama, 23 Januari, 2015.


See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.