Followers

Saturday, January 24, 2015

KWSP benarkan pencarum terjejas banjir keluar simpanan Akaun 2

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pencarum yang kediaman mereka terjejas banjir baru-baru ini untuk mengeluarkan simpanan daripada Akaun 2.

KWSP dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan pencarum mempunyai pilihan untuk membuat pengeluaran perumahan berdasarkan prosedur semasa KWSP.

"Bagi ahli yang tidak pernah membuat pengeluaran perumahan dan berhasrat membina semula kediaman yang musnah akibat banjir boleh berbuat demikian dengan memohon Pengeluaran Membeli/Membina Rumah.

"Pengeluaran tersebut dibenarkan sekiranya rumah pertama dijual atau berlaku pelupusan pemilikan," menurut kenyataan itu.

Menurut KWSP, takrif pelupusan pemilikan bermaksud hilang pemilikan ke atas rumah pertama dimiliki melalui pengeluaran KWSP sebelum ini atas beberapa sebab termasuk rumah musnah akibat bencana alam, kebakaran, projek rumah terbengkalai atau pembatalan pembelian rumah.

Menurut KWSP, bagi melayakkan pengeluaran membina rumah kedua, pencarum perlu mendapatkan surat pengesahan daripada Majlis Perbandaran, Majlis Daerah atau penghulu  rumah pertama mereka yang dibeli atau dibina melalui Pengeluaran Perumahan KWSP  musnah akibat banjir.

"Pihak KWSP akan membuat penilaian rumah dan mengesahkan jumlah yang diperlukan untuk membeli atau membina semula kediaman tersebut serta menyemak baki simpanan Akaun 2 ahli.

"Kelayakan untuk membuat pengeluaran adalah tertakluk kepada terma dan syarat-syarat lain yang ditetapkan," menurut kenyataan.

Untuk maklumat lanjut, ahli boleh mengunjungi mana-mana cawangan KWSP atau melayari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau menghubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-89226000. – Bernama, 23 Januari, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.