Followers

Monday, January 5, 2015

Dr Mahathir ramal kebangkitan anak muda seperti Ali Abd Jalil, kata ibu bapanya OLEH HASBULLAH AWANG CHIK


Saya tidak peduli orang mencemuh saya tidak membesarkan anak dengan baik, kata Abd Jalil Abdul Rahman, bapa aktivis Ali Abd Jalil yang didakwa mengikut Akta Hasutan.

Saya tidak peduli orang mencemuh saya tidak membesarkan anak dengan baik, kata Abd Jalil Abdul Rahman, bapa aktivis Ali Abd Jalil yang didakwa mengikut Akta Hasutan.

.Ketika Ali Abd Jalil bersedia untuk hidup sebagai pencari suaka di Sweden, pengkritiknya kini beralih pandangan ke ibu bapanya, menuduh mereka tidak mendidik anak dengan baik.

Tetapi, Abd Jalil Abdul Rahman, 62 tahun, dan Endon Bidin tidak mempedulikan cemuhan itu.

Mereka berkata, mereka membesarkan anak dengan sebaik mungkin dan buktinya ialah tujuh daripada anak mereka sama ada mempunyai ijazah dari universiti atau sedang belajar di peringkat PhD.


Pasangan warga emas itu berkata demikian ketika ditemubual The Malaysian Insider, kira-kira 2 bulan selepas anak mereka ke Sweden.

Walaupun mungkin tidak setuju dengan apa yang dilakukan Ali, yang menyebabkan dia didakwa mengikut Akta Hasutan, mereka berhujah anak mereka tidak berseorangan dalam menyoal Raja-Raja Melayu.

Jalil berkata, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengkritik Raja Melayu, malah pernah menghapuskan imuniti mereka dalam satu dakwaan jenayah pada 1993.

Katanya, Ali hanya menepati ramalan Dr Mahathir pada 21 tahun lepas, iaitu sekiranya imuniti tidak dihapuskan, rakyat biasa akan bangkit membantah.

Terima segala penghinaan demi Ali

Kes Ali menarik perhatian media apabila beliau menuntut suaka politik di Sweden pada 21 Oktober susulan dakwaan mengikut Akta Hasutan 1948 yang dikenakan terhadapnya kerana mengkritik Sultan Johor.

Dia ke Sweden dengan bantuan beberapa kumpulan hak asasi manusia selepas dia mendakwa nyawanya berada dalam bahaya. Katanya, dia diekori kumpulan samseng selepas keluar dari penjara, dan pada masa sama, dia mendakwa dipukul polis.

Ali, yang membuat laporan polis terhadap pegawai polis, juga ditangkap semula dan dibawa dari Selangor ke Johor, secara keseluruhannya menghabiskan lebih 20 hari di lokap polis, membuatkan peguamnya menyifatkannya sebagai "sedition roadshow" (jelajah hasutan) dan menyatakan dia menghabiskan lebih banyak masa di dalam tahanan berbanding suspek kes bunuh.

Pemuda berusia 30 tahun itu ketika ini bekerja dan tinggal di Morsta, Sweden sementara menunggu permohonannya mendapatkan suaka diluluskan.

Ibunya Endon berkata, keluarga mereka mula dilemparkan dengan pelbagai kritikan selepas usaha memburuk-burukkan Ali tidak membawa kesan.

“Sekarang bukan serang Ali saja, tetapi jadi anak beranak Jalil. Macam-macam. Ada yang menghantar surat terbuka kepada Jalil dan keluarga, bukan setakat Ali. Kita reda dan terima,” katanya.

“Bila tak jadi kudis orang maki hamun dia, orang maki hamun kami, mak dan ayah. Makcik terasa juga orang kata tak didik anak tapi makcik tak mahu bergaduh dalam Facebook.

“Apa yang kami hasilkan, anak-anak yang mempunyai ijazah dan sarjana. Kalau kami dianggap ibu bapa yang gagal mendidik anak, kami nak tengok ibu bapa yang berjaya macam mana hebatnya. Wajah-wajah yang menuduh kami gagal,” kata Endon.

Pasangan Endon dan Jalil dikurniakan 10 anak dan tujuh daripada mereka memiliki ijazah sarjana muda. Tiga anaknya sudah memiliki ijazah sarjana dan kini sedang menuntut di peringkat doktor falsafah.

'Dr Mahathir nampak ini akan terjadi'




Katanya, walaupun dia mungkin tidak bersetuju dengan pendirian yang diambil anaknya dan bagaimana Ali menyuarakan pendapatnya, ia tidak menghalang mereka membincangkan isu itu bersama.

“Dia kritik sultan, saya tanya apa yang mereka buat pada kita? Dia kata tak kan nak tunggu sampai kita yang kena.

"Dia kata kita mahu keadilan, tak kan dah kena baru nak berjuang untuk keadilan. Katanya, macam kita pentingkan diri sendiri. Dia lebih ke depan daripada segi perjuangan," kata Jalil.

Katanya, walaupun sering diingatkan jangan menggunakan perkataan kasar dan lucah, Ali berkata kekejaman kelompok ‘tertentu’ lebih dahsyat daripada perkataan yang digunakannya.

“Dia guna maki hamun dan mencarut. Dia kata apa yang ‘orang itu’ lakukan lebih zalim, kejam dan menganiaya, apalah sangat maki hamun ini? Dia banding macam itu, betul juga."

Jalil bagaimanapun, berkata beliau tidak menjangka perbuatan Ali akan sebegitu agresif dalam mengkritik memandangkan abangnya Ahmad juga pernah didakwa mengikut Akta Hasutan kerana menghina Sultan Johor.

Ahmad didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Baru selepas didapati bersalah menghina Sultan Johor di laman sosial Facebook pada 2012.

"Kami ingat hukuman itu menjadi pengajaran tetapi tidak. Bila abangnya kena, dia lagi rancak,” katanya.

Jalil percaya, 21 tahun lepas Dr Mahathir membuat ramalan yang rakyat seperti Ali akan bangkit dan bersuara.

“Dr Mahathir pada 1993 kata, rakyat semua tahu raja zalim dan kalau tak dihapuskan, satu hari rakyat sendiri akan bangkit.

“Bila kes Ali, kita boleh bandingkan spekulasi Dr Mahathir 21 tahun lalu, benda itu dah nampak bibit-bibitnya. Apa yang dibuat ini ialah yang dispekulasikan, cuma kita tak tahu bila ia akan bermula.

“Kita kena terima hakikat, Dr Mahathir pencetus spekulasi, Ali yang menjadikannya realiti,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Perjumpaan semula

Endon Bidin, ibu aktivis Ali Abd Jalil berkata komunikasi, mesej dan Skype digunakan untuk berhubung supaya ikatan kekeluargaan tidak terputus.


Endon Bidin, ibu aktivis Ali Abd Jalil berkata komunikasi, mesej dan Skype digunakan untuk berhubung supaya ikatan kekeluargaan tidak terputus.

Endon berkata, pihak yang melemparkan cemuhan menganggap mereka sekeluarga bersedih atas pemergian Ali, namun hakikatnya tidak begitu.

"Mereka ingat kami ini ibu bapa bersedih kerana anak lari jauh. Tapi kami tenang saja. Biasa anak pergi ke sana sini. Duduk berjauhan dalam dunia yang kecil. Kita boleh mesej peribadi atau Skype,” katanya.

Katanya, lebih baik Ali terus berada di Sweden jika kepulangannya ke Malaysia akan membawa pelbagai bentuk ancaman yang lebih besar.

“Kalau di sana dia setakat dengan Facebook. Kalau di sini mungkin dia sertai demonstrasi, dia akan ke depan sekali," kata wanita berusia 59 tahun itu.

Katanya, beliau kerap berkomunikasi dengan anak keenamnya itu supaya jarak yang memisahkan mereka tidak memutuskan hubungan.

Endon berkata, nasihat secara berhikmah penting buat Ali bagi mengelakkan hubungan kekeluargaan terputus memandangkan peluang anaknya itu pulang ke Malaysia amat tipis.

“Makcik nasihat dia solat, dia tunjuk dia pergi masjid. Jadi dia macam menjawab apa yang makcik minta dia buat.

"Makcik cuma berdoa masa depan dia. Makcik nampak yang elok-elok. Satu hari kita boleh aturkan jumpa di luar Malaysia,” katanya. – 4 Januari, 2015.


www.themalaysianinsider.com/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.