Followers

Monday, January 26, 2015

BN mahu Pakatan berbalah untuk tutup kelemahan, kata PAS

 
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata pihak Barisan Nasional amat memerlukan perbalahan dalaman Pakatan Rakyat berterusan agar tumpuan kepada kelemahan BN sebagai kerajaan dapat dialihkan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata pihak Barisan Nasional amat memerlukan perbalahan dalaman Pakatan Rakyat berterusan agar tumpuan kepada kelemahan BN sebagai kerajaan dapat dialihkan.

Perselisihan di antara DAP dan PAS berhubung pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) menyembunyikan kelemahan, kata Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Ahli jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, pemimpin politik tidak boleh lagi menganggap rakyat tidak mampu membuat penilaian terhadap tindak-tanduk dan sikap yang diambil mereka terhadap sesuatu isu yang diperdebatkan.

“Pihak BN secara strategi politiknya amat memerlukan perbalahan antara parti komponen Pakatan Rakyat (PR) berterusan, sama ada dalam isu hudud mahupun pilihan raya kerajaan tempatan, mahupun isu-isu perkauman.

"Ini supaya masalah besar negara seperti keadaan ekonomi yang gawat, kelemahan BN menjadi kerajaan yang bertanggungjawab serta pengendalian tata kelola kewangan yang lemah dapat dialihkan tumpuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mujahid berkata perselisihan di antara PAS dan DAP dalam isu hudud dan pilihan raya PBT membuatkan orang ramai tertanya-tanya apakah sebenarnya persetujuan bersama agenda PR.

Katanya, perbalahan itu menjejaskan fokus agenda besar manifesto PR di mana rakyat sudah memberikan mereka kepercayaan yang kuat dalam pilihan raya umum lalu.

“Rakyat akan menilai hujah yang lebih berfakta dan bukan sentimen serta emosi yang kadangkala tidak berpijak di bumi nyata.

“Justeru, sama ada hudud atau pun pilihan raya kerajaan tempatan, pastikan ia tidak ditunggangi golongan sempit yang melihat semuanya daripada kacamata perkauman mahupun persepsi prejudis sehingga boleh menjejaskan perpaduan,” katanya.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, dalam polemik hudud dan pilihan raya PBT, isu perkauman sempit masih mendasari hujah sekaligus menafikan perbahasan yang sihat.

Katanya, semua pihak hendaklah kembali kepada isu sebenar yang menjadi intipati perdebatan iaitu pengukuhan proses demokrasi dan membuat sesuatu keputusan perundangan mengikut peruntukan Perlembagaan.

“Apabila ia menjadi perdebatan awam, maka hendaklah diajukan secara sihat melalui dialog dan rundingan.

“Sama ada hudud ataupun pilihan raya kerajaan tempatan, selagi ia tidak lari daripada kerangka undang-undang negara maka semua pihak hendaklah menjadikan perundangan dan konsultasi awam sebagai rujukan,” katanya.

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali hari ini berkata, perbezaan pandangan antara pimpinan PR mengenai isu pilihan raya PBT perlu dibincangkan secara dalaman melalui mesyuarat, bukannya dengan menyerang sesama sendiri.

"Kekuatan PR ialah kita bekerja berdasarkan konsensus dan bukannya secara individu," katanya di Shah Alam.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa pilihan raya PBT boleh mencetuskan semula peristiwa 13 Mei.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan Hadi sekadar pandangan peribadi, dan mahu mengadakan perbincangan meja bulat dengan ahli Parlimen Marang itu dan pemimpin DAP Lim Kit Siang bagi menyelesaikan pertikaian tersebut.

Hadi pada minggu lalu berkata, desakan DAP mengadakan pilihan raya PBT akan menyebabkan ketidakstabilan masyarakat majmuk di Malaysia dan hanya menguntungkan kaum Cina.

Namun, ia disanggah Lim yang mendakwa punca terjadinya 13 Mei ialah pihak tertentu yang mengeksploitasi Pilihan Raya Umum 1969 demi kepentingan sendiri. – 26 Januari, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.