Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin dengan penghujahan pasukan guamannya dan akan dibebaskan daripada tuduhan meliwat.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini yakin beliau akan dibebaskan apabila Mahkamah Persekutuan membuat keputusan ke atas kes liwatnya 10 Februari ini.
"Berdasarkan penghujahan pasukan guaman, saya yakin akan dibebaskan berdasarkan perincian fakta dan undang-undang kukuh yang dibentangkan di hadapan panel Mahkamah Persekutuan," kata Anwar dalam satu kenyataannya.
Menurut Anwar, beliau menerima maklumat yang menyatakan Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 Februari hadapan sebagai tarikh penghakiman bagi rayuan kesnya di peringkat Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman Putrajaya.
Sehubungan itu, beliau berdoa pada Allah agar keadilan dapat ditegakkan dan dibebas.
"Fitnah tidak wajar dijadikan alat dalam tinju politik dan diberi ruang untuk memporak-perandakan negara," katanya dalam kenyataannya itu.
Mahkamah Persekutuan hari ini memaklumkan tarikh keputusan perbicaraan 10 Februari itu melalui akaun Twitter rasminya.
Keputusan panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria itu akan dibuat pada jam 9 pagi.
Arifin yang mengetuai panel 5 hakim mula mendengar kes itu pada 28 Oktober dan berakhir pada 7 November lalu.
Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menolak keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012 yang membebaskan Anwar dari dakwaan meliwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Panel 3 hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Balia Yusof Wahi menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara ke atas Anwar dan membenarkan ikat jamin sehingga keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Desa Damansara, Bukit Damansara antara jam 3.10 hingga 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Anwar dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dan seorang penjamin.
Pihak pendakwa juga memfailkan rayuan balas bagi memohon hukuman yang lebih berat sehingga 20 tahun penjara dikenakan.
Kedudukan Anwar sebagai wakil rakyat bakal terjejas jika dipenjarakan lebih setahun atau denda lebih RM2,000. – 26 Januari, 2015.
www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/anwa
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.