Followers

Thursday, January 22, 2015

Bekas duta Malaysia ke Peru, tebusan Tupac Amaru meninggal dunia - OLEH AMIN ISKANDAR, PENGARANG BERITA


Bekas duta Malaysia ke Peru Datuk Ahmad Mokhtar Selat meninggal dunia di Petaling Jaya pukul 7 malam tadi. – Gambar ihsan Facebook.Bekas duta Malaysia ke Peru Datuk Ahmad Mokhtar Selat meninggal dunia di Petaling Jaya pukul 7 malam tadi. – 

Gambar ihsan Facebook.Bekas duta Malaysia ke Peru Datuk Ahmad Mokhtar Selat meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya lebih kurang pukul 7.00 malam tadi, kata bekas rakan sejawatnya di Universiti Malaya (UM).

Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Dr Roy Anthony Rogers berkata, Mokhtar yang pernah mengajar di universiti tertua Malaysia itu merupakan seorang berpengalaman dan luas ilmu pengetahuan dalam bidang hubungan antarabangsa.
 
 

 
"Beliau merupakan seorang yang baik dan banyak membantu kami. Kami pasti akan merinduinya," kata Rogers kepada The Malaysian Insider apabila dihubungi sebentar tadi.

"Mokhtar merupakan seorang yang disayangi ramai, daripada pelajar hinggalah rakan pensyarah. Dia seorang yang merendah diri dan ceria. Semoga dia berehat dengan aman di sana."

Sementara bekas rakan dutanya, Datuk Dr Rajmah Hussain yang kini merupakan adjung profesor di UM mengatakan mayat Mokhtar sudah dibawa pulang ke rumahnya di Kelana Jaya.

Mokhtar yang pernah menjawat jawatan timbalan setiausaha agung Asean (2000-2003) itu dikatakan menderita penyakit barah dan akan dikebumikan di SS4B, Petaling Jaya esok.

Mokhtar merupakan di antara 10 lagi tokoh yang menyertai kumpulan 25 tokoh Melayu profesional atau G25 – sebelum ni secara terbuka mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan sistem mahkamah syariah di negara ini melalui surat terbuka pada 8 Disember.

Semasa berkhidmat sebagai duta Malaysia ke Peru pada 1996, Mokhtar merupakan salah seorang yang menjadi tebusan kepada kumpulan pemberontak Tupac Amaru.

Beliau juga pernah menjadi pengarah operasi untuk menyelamatkan rakyat Malaysia semasa Perang Teluk yang pertama.

Mokhtar juga pernah berkhidmat sebagai duta Malaysia ke beberapa negara seperti Indonesia, India, Korea Selatan, Kuwait, Venezuela, Amerika Syarikat dan Turki.

Beliau juga terkenal dengan bukunya yang bertajuk "Tebusan Tupac Amaru" yang diterbitkan pada 1997.

Di UM, Mokhtar berkhidmat sebagai pensyarah kanan dalam hubungan antarabangsa dari 2006 hingga 2011 selain terlibat dengan International Institute of Public Administration of Malaysia dari 2006-2007.

Mokhtar merupakan salah seorang kolumnis The Malaysian Insider akan tetapi hanya sempat menyumbangkan satu artikel kerana keadaan kesihatannya yang kurang baik.



The Malaysia Insider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.