Followers

Thursday, January 22, 2015

Peguam gagal hubungi Sirul, tunggu kenyataan rasmi OLEH ANISAH SHUKRY

Peguam mewakili Koperal Sirul Azhar Umar, Kamarul Hisham Kamaruddin gagal menghubungi anak guamnya yang kini ditahan di Australia.

Peguam mewakili Koperal Sirul Azhar Umar, Kamarul Hisham Kamaruddin gagal menghubungi anak guamnya yang kini ditahan di Australia.

Peguam mewakili Koperal Sirul Azhar Umar di Malaysia cuba menghubungi bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu untuk mengetahui punca beliau ditahan pihak imigresen Australia, tetapi usaha untuk mendapatkan jawapan tidak berhasil.

Kamarul Hisham Kamaruddin memberitahu The Malaysian Insider, beliau menghubungi pihak imigresen bagi mendapatkan maklumat lanjut tetapi jurucakap enggan memberikan sebarang maklumat.

Katanya, barisan peguam Sirul hanya boleh memutuskan langkah seterusnya sejurus selepas penahanannya dapat disahkan pihak berkuasa.

"Kami sudah cuba bercakap dengan wakil jabatan imigresen tetapi mereka kata tidak ada kuasa untuk membincangkan kes itu.

"Kami juga menghubungi ABC News, organisasi media pertama yang melaporkan berita penahanan itu tetapi mereka kata maklumat yang mereka tahu setakat ini daripada wakil jabatan imigresen, dan penangkapan berdasarkan notis merah yang dikeluarkan Interpol.



"Jadi sekarang kita perlu tunggu beberapa kenyataan rasmi seperti permohonan ekstradisi daripada Malaysia sebelum kita boleh buat tindakan selanjutnya," katanya.

Kamarul sebelum ini berkata, mereka akan mengemukakan tindakan undang-undang mencabar mahkamah Malaysia jika pihak berkuasa memohon untuk ekstradisi Sirul.

Sirul dan Ketua Inspektor Azilah Hadri dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari lalu atas kesalahan membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Sirul dilaporkan melarikan diri ke Australia dua bulan lalu sebelum hukuman dijatuhkan, dan undang-undang negara itu tidak membenarkan ekstradisi dibuat bagi hukuman mati.

Sirul ditahan imigresen Australia sehari selepas polis antarabangsa (Interpol) mengeluarkan notis merah terhadapnya, menandakan beliau antara individu paling dikehendaki pihak berkuasa.

Kamarul berkata, Sirul sehingga kini masih belum dibebaskan, menyebabkan beliau gagal menghubungi anak guamnya.

"Kita tak tahu sama ada dia bersama peguam atau keadaan kes, sama ada beliau melanggar kesalahan imigresen atau ditahan sebab notis merah Interpol.

"Kami masih cuba untuk menghubunginya," katanya.

Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan pihak pendakwa dan menjatuhkan hukuman mati terhadap Sirul dan Azilah, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada Ogos 2013.

Hakim Suriyadi Halim Omar berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kedua-duanya terlibat dengan pembunuhan Altantuya.

Altantuya dibunuh kejam apabila diletupkan dengan bom C4, ketika dijumpai di pinggir luar bandar Shah Alam.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang juga bekas penasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, didakwa bersubahat dengan Azilah tetapi dibebaskan pada tahun 2008. Kerajaan bagaimanapun tidak pernah membuat rayuan terhadap keputusan itu. – 21 Januari, 2015.


www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/peguam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.