Followers

Monday, December 15, 2014

Khalid Samad, Mat Sabu, harapan PAS dalam Pakatan, kata DAP Perak - OLEH MOHD FARHAN DARWIS


Pemimpin PAS Dr Hatta Ramli bersama pimpinan DAP di Persidangan Nasional DAP di Subang Jaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 14 Disember, 2014.Pemimpin PAS Dr Hatta Ramli bersama pimpinan DAP di Persidangan Nasional DAP di Subang Jaya, hari ini. 

Pemimpin PAS seperti Mohamad Sabu dan Khalid Samad masih berupaya menjadi suara Pakatan Rakyat (PR) dalam parti Islam itu meskipun terdapat segelintir pemimpin mereka tidak sebulu dengan kepimpinan pembangkang, kata wakil DAP Perak, Wong Kah Wah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Canning ketika berbahas di Persidangan Nasional DAP 2014 di Subang Jaya, berkata, masalah yang timbul daripada krisis dalaman PR bukan berpunca dari PAS, sebaliknya daripada segelintir pimpinan mereka.

"Kita tahu kita ada masalah, ia bukan masalah PAS sendiri, tetapi segelintir pemimpin PAS.


"Kita masih ada Mat Sabu, Khalid Samad, itulah harapan kita dalam PAS," katanya.
  Beliau berkata, tiada perkara mustahil dalam politik untuk berhadapan dengan kedegilan segelintir kepimpinan PAS.

"Dengan ada segelintir pimpinan PAS yang degil, tetapi saya percaya dalam politik kita akan berhadapan 'mission impossible' tapi tiada yang 'impossible' dalam politik," katanya.

Beliau turut menyeru pemimpin yang gagal mematuhi keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi PR melepaskan jawatan dalam parti yang diwakili mereka.

"Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat perlu bermesyuarat sekurang-kurangnya sebulan sekali dan keputusan itu wajib dihormati.

"Mana-mana pemimpin yang ingkar, keputusan itu, harus berundur dan tidak layak memimpin parti itu," katanya di hadapan 938 perwakilan DAP.

Beliau berkata, masih ada peluang bagi PR bersatu menentang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

"Saya berasa terpanggil untuk berbahas kerana saya rasa masih ada harapan, masih ada peluang mengekalkan silaturrahim kita untuk berhadapan BN.

"Mungkin antara kita, termasuk pemimpin kita hilang keyakinan PR akan berterusan untuk menggantikan BN," katanya.

Hanya dengan kekuatan dalaman PR, katanya, BN akan mampu untuk ditewaskan.

"Saya percaya di Perak, atau di Malaysia, sampai hari ini, kita percaya dengan hubungan erat ketiga-tiga parti, kita mampu menewaskan BN," tambahnya.

Malah, beliau turut mengakui, melalui perbincangan tertutup, PR Perak berjaya menyelesaikan beberapa isu berhubung pembangkang di Perak.

"Bukan saja pemimpin PAS Perak seperti Nizar, kita juga ada anak-anak buah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang," katanya merujuk kepada bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

"Tetapi melalui perbincangan formal dan tidak formal, kita berjaya mendesak kenyataan bersama dikeluarkan," katanya. – 14 Disember, 2014.


The Malaysia Insider.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.