Followers

Monday, December 15, 2014

Tiada hudud, kenalpasti PM jika Pakatan mahu ke Putrajaya, kata Guan Eng - OLEH MOHD FARHAN DARWIS

 

Lim Guan Eng dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tiga dan empat dari kanan) bersama pemimpin PKR dan DAP lain di Persidangan Nasional DAP di Subang Jaya, hari ini.

Lim Guan Eng dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tiga dan empat dari kanan) bersama pemimpin PKR dan DAP lain di Persidangan Nasional DAP di Subang Jaya, hari ini

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan Pakatan Rakyat (PR) perlu beri jaminan tidak melaksanakan hudud serta akan mengenalpasti bakal perdana menteri sekiranya mahu memenangi pilihan raya akan datang.

Berucap pada Persidangan Nasional DAP 2014 di Subang Jaya hari ini, ketua menteri Pulau Pinang itu berkata dalam usaha menunjukkan pembangkang mempunyai suara sama, pendirian tidak melaksanakan hukum Islam itu perlu jelas dinyatakan.

"Pakatan perlu buktikan kita boleh mentadbir lebih baik, ini dapat dilakukan dengan dasar yang jelas.

"Jangan kita ulangi krisis menteri besar Selangor lagi, jangan rakyat lihat ada kenyataan bercanggah dalam PR," katanya pada persidangan bertemakan "Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing".

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, PR perlu mempunyai calon perdana menteri yang jelas untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Dalam PRU14, kita hanya akan menang jika kita ada calon perdana menteri dari PR.

"Perlu ada pendirian tegas, kerajaan PR di Putrajaya tidak akan melaksanakan undang-undang hudud. Itu mesti jelas sama sekali.

"Saya menyeru semua pemimpin PR menyatukan kuasa propgresif untuk mengalahkan Umno," katanya.

Selain itu, Lim turut memberi jaminan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, DAP akan tetap setia menanti Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini berhadapan hukuman penjara atas kesalahan meliwat.

"Kita mengutuk tindakan terhadap Anwar," katanya, merujuk kepada ketua umum PKR itu.

"Di sini saya ingin memberi jaminan kepada Kak Wan, sekiranya Anwar masuk penjara, jangan bimbang, kita akan tunggu sampai beliau keluar penjara," katanya, merujuk Dr Wan Azizah.

Lim berkata, demi melunaskan hutang mereka kepada 52% sokongan pengundi yang memilih PR dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13), BN perlu ditumbangkan.

"Umno mesti dikalahkan, tapi kalau kita nak menang, kita mesti dapatkan sokongan pengundi pertengahan.

"Itulah hutang kita kepada 52% pengundi rakyat Malaysia yang sokong PR. Kita mesti bayar balik dengan menang PRU14," kata Lim lagi. – 14 Disember, 2014.

 


www.themalaysianinsider.com/bahasa/article.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.