Followers

Saturday, December 20, 2014

Hudud akan dibincang Januari depan dalam mesyuarat Pakatan, kata Azmin OLEH DIYANA IBRAHIM


Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata isu hudud akan dibincangkan di mesyuarat pimpinan PR pada Januari hadapan.

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata isu hudud akan dibincangkan di mesyuarat pimpinan PR pada Januari hadapan.

Isu berhubung usul rang undang-undang persendirian berkenaan hudud yang akan dibawa PAS ke Dewan Rakyat pada sidang Parlimen akan datang untuk membolehkan undang-undang Islam itu dikuatkuasakan di Kelantan, akan dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat (PR) Januari hadapan, kata Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali hari ini.

Enggan mengulas lanjut pendirian beliau berhubung tindakan PAS, menteri besar Selangor itu menegaskan sewajarnya cadangan bagi mana-mana parti dalam PR harus dibincang secara kolektif terlebih dahulu dalam mesyuarat pimpinan tertinggi.


"Pendirian PR tentang hudud jelas sejak awal, cuma dalam cadangan ini (usul rang undang-undang) sepertimana ditegaskan (Ketua Pembangkang) Datuk Seri Anwar Ibrahim kita masih belum melihat draf tersebut.

"Ini bukan soal saya, ini soal PR, kita akan bincang secara kolektif dan apa juga cadangan dikemukakan mana-mana parti PR mesti dibincangkan terlebih dahulu dalam majlis kepimpinan PR di mana kita akan bincang dalam mesyuarat Januari depan," katanya pada sidang media selepas menghadiri program pemberian hak milik kepada pemilik banguan perniagaan dan penyerahan notis 5A, di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya, Puchong.

Mengulas berkenaan gesaan parti komponen Barisan Nasional (BN) dari Gerakan yang menuntut semua ahli Parlimen DAP dan PKR menolak hudud PAS itu, Azmin berkata, parti itu seharusnya menyelesaikan masalah mereka dalam parti pemerintah itu sebelum mencampuri urusan pembangkang tersebut.

Setiausaha Agung Gerakan Liang Teck Meng semalam menggelar ahli Parlimen Islam dari komponen PR, DAP dan PKR sebagai "Magic 18", serta meminta mereka mengundi bagi membantah rang undang-undang itu.

Liang dalam kenyataannya berkata,18 ahli Parlimen ini mampu "menentukan hala tuju negara ini."

PKR mempunyai seramai 16 ahli Parlimen beragama Islam sementara DAP mempunyai 2 ahli Parlimen Islam daripada keseluruhan 37 anggota Parlimen mereka.

Rang undang-undang persendirian mengenai hudud itu akan dibentangkan PAS hujung bulan ini dan memerlukan sekurang-kurangnya 112 undi sebelum diluluskan Dewan Rakyat.

Umno mempunyai 88 ahli Parlimen Islam, kecuali Timbalan Speaker Dewa Rakyat Datuk Ronald Kiandee.

Meskipun PAS mempunyai 21 kerusi di Parliamen, sekiranya digabungkan dengan PKR, masih terdapat kekurangan empat kerusi untuk rang undang-undang itu diluluskan.

Pemimpin beragama Islam di kalangan ahli Parlimen PKR enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada mereka akan mengundi menyokong atau membantah rang undang-undang persendirian PAS yang akan membolehkan undang-undang hudud dikuatkuasakan di Kelantan.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata parti itu hanya akan menyatakan pendiriannya setelah melihat draf rang undang-undang itu.

Anwar sebelum ini berkata, rancangan kerajaan negeri Kelantan untuk meminda enakmen hudud di Dewan Undangan Negeri (DUN) disifatkan "bermasalah" kerana negeri itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang jenayah Islam di negeri itu.

Kerajaan Kelantan menetapkan 29 Disemberi ini untuk memanggil sidang khas Dewan Undangan Negeri untuk membentangkan pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993. – 20 Disember, 2014.

www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.