Followers

Saturday, December 20, 2014

Isu buka ladang babi bukan masalah besar, kata Azmin OLEH DIYANA IBRAHIM

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata penduduk bimbangkan kebersihan kawasan mereka tidak perlu bimbang kerana terdapat teknologi baru untuk penternakan ladang babi moden.
Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata penduduk bimbangkan kebersihan kawasan mereka tidak perlu bimbang kerana terdapat teknologi baru untuk penternakan ladang babi moden

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali hari ini membayangkan kerajaan negeri akan tetap meneruskan pelaksanaan projek penternakan ladang babi moden di Kuala Langat meskipun ditentang penduduk sekitar.

Azmin berkata kebimbangan mengenai  projek tersebut terutama terhadap kebersihan dan pencemaran kepada penduduk sekitar boleh ditangani dengan penggunaan teknologi terkini dalam pembinaan ladang babi berkenaan.

"Pada saya ini bukan masalah besar dan ia boleh diselesaikan antara kerajaan negeri dan pengusaha ladang babi ini.

"Di dalam isu ini, kita ada teknologi-teknologi baru untuk diselesaikan dan sudah tentu ia melibatkan kos. Kita akan bincang dengan pihak-pihak yang mengusahakan ternakan babi bagi kepentingan rakyat di kawasan tersebut dan menjaga kebersihan," katanya pada sidang media selepas menghadiri program pemberian hak milik kepada pemilik banguan perniagaan dan penyerahan notis 5A, di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya, Puchong.

‎Projek penternakan ladang babi moden di Selangor berdepan dengan fasa baru apabila dibentangkan dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) baru-baru ini.

Pelaksanaan  projek ladang babi itu akan dibina di Ladang Tumbok Mukim Baru Laut, Kuala Langat, Selangor.

Antara mereka yang membantah projek tersebut ialah kumpulan pendesak Melayu, Perkasa yang sebelum ini dilaporkan menggesa kerajaan negeri untuk tidak terus dengan niat mereka melaksanakan projek ternakan ladang babi berkenaan.

"Perkasa mahu kerajaan negeri membakul sampahkan kertas cadangan pembinaan ladang penternakan babi ini.

"Sudahlah di kawasan yang majoritinya kaum Cina yang dikuasai DAP penuh dengan rumah urut, kelab-kelab malam, mesin kuda dan pelacuran, jangan pula palitkan kawasan yang majoritinya orang Islam dengan penternakan babi," kata Setiausaha Biro Pemantauan dan Integriti Perkasa Azrul Akmal Saharudin.

Pertubuhan itu katanya tidak menghalang projek berkenaan sekiranya ia dibina di kawasan yang bukan majoritinya dihuni penduduk beragama Islam.

"Jika mahu diteruskan, wajarlah dibina di kawasan yang majoritinya pemakan babi.

"Kita tidak menghalang hak kaum lain untuk menternak dan memakan babi, tetapi jagalah sensitiviti orang Islam," katanya.

Sebelum ini kertas cadangan mengenai kelulusan pelaksanaan ladang ternakan babi di Kuala Langat tersebar luas di media sosial.

Mengulas mengenai tentangan itu, Azmin menyifatkan bantahan itu sebagai isu biasa yang membabitkan cadangan pembangunan.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan bantahan tersebut dengan mengambil pendekatan untuk mendengar secara terus apa yang dibangkitkan pihak tertentu.

"Dalam mana-mana isu pembangunan, mesti akan ada bantahan daripada pelbagai pihak. Tetapi dasar kerajaan negeri, kita akan mendengar dan mendekati pihak-pihak berkuasa, penduduk setempat, NGO dan sebagainya sebelum sebarang keputusan diambil.

"Pada saya ini bukan masalah luar biasa bagi sebuah kerajaan yang mengamalkan demokrasi, dan kita menghormati pandangan rakyat," katanya. – 20 Disember, 2014.

www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.