Followers

Saturday, December 6, 2014

Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad Kurang Senang ?

 Untuk Makluman Mahathir, Bukan Saja AS Tapi Rakyat Malaysia Juga Mahukan Anwar Jadi PM Kenyataan Naib Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden bahawa Malaysia berpeluang membetulkan keadaan dan mempromosi keyakinan dalam demokrasi dan kehakiman melalui keputusan rayuan kes Liwat Kedua melibatkan Anwar Ibrahim yang sedang ditunggu-tunggu ketika ini, telah mengundang rasa kurang senang bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad.

Menurut bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu, Amerika Syarikat tidak mahu Malaysia mensabitkan Anwar dalam kes itu kerana mahukan bekas Timbalan Perdana Menteri itu menjadi Perdana Menteri.

"Itu terpulang kepada mereka tetapi kita tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri," tambah Mahathir lagi. Sebenarnya ada dua kebimbangan Mahathir dalam perkara ini.

Beliau nampaknya bukan saja bimbang Najib Razak akan menerima logik yang disampaikan oleh Joe Biden itu kerana Perdana Menteri dilihat turut menggilai sanjungan dan pengiktirafan Amerika Syarikat tetapi juga seolah-olah percaya kerajaan BN akan berakhir dalam pilihanraya umum akan datang.

Anwar pula, bagi Mahathir hanya terhalang menjadi Perdana Menteri jika dipenjarakan tetapi peluangnya tetap ada jika dibebaskan dalam rayuan kes Liwat Kedua ini.

Mahathir juga menyembunyikan kebimbangannya tentang kemungkinan Anwar menjadi Perdana Menteri dengan mengatatakan "kita tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri". Siapakah "kita" yang dimaksudkan Mahathir itu?

Adakah ianya bermaksud rakyat yang mempunyai hak mengundi atau penyokong UMNO saja? Atau adakah "kita" itu hanya mewakili Mahathir semata-mata?

Jika hanya penyokong UMNO atau Mahathir saja yang tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri, ia bukanlah sesuatu sukar untuk difahami kerana mustahil mereka mahu menyokong Anwar yang dianggap musuh selama ini.

Tetapi jika "kita" itu merujuk kepada rakyat biasa atau pengundi, anggapan Mahathir jelas tidak tepat. Walaupun dalam PRU 13 lalu, PR hanya menang 89 kerusi, tetapi sokongan undi popular yang diperolehinya ialah 52 peratus.

Kemenangan BN sebanyak 133 kerusi pula hanya meraih undi popular sebanyak 47 peratus. Apakah makna semua itu? Maknanya tidak lain ialah dalam pilihanraya itu rakyat mahukan perubahan kerajaan dan menolak kepimpinan Najib.

Kepimpinan Najib sudah tidak popular di mata rakyat. Melalui undi popular sebanyak 52 peratus yang diterjemahkan rakyat kepada PR bukan saja menunjukkan mereka mahu BN ditumbangkan tetapi juga memilih Anwar sebagai calon Perdana Menteri yang popular.

Hasrat, keinginan dan kehendak untuk Anwar menjadi Perdana Menteri itu hanya terhalang kerana sistem pilihanraya berasaskan undi majoriti di 222 kawasan Parlimen atau "first-past-the post" yang diamalkan oleh negara kita.

Tetapi hasrat, keinginan dan kehendak bertukar Perdana Menteri itu tidak boleh dinafikan oleh sesiapa juga.

Malah setelah lebih setahun selepas keputusan PRU 13, kerajaan pimpinan Najib Razak terus merudum sokongannya daripada rakyat dan ini juga bukti bahawa hasrat, keinginan dan kehendak itu sentiasa membara di jiwa rakyat.

Dengan itu, tidak disangsikan lagi bahawa jika "kita" itu merujuk kepada rakyat atau pengundi, ia jelas tidak tepat dan tersasar jauh.

Melalui undi sebanyak 52 peratus kepada PR adalah bukti rakyat atau pengundi mahukan Anwar menjadi Perdana Menteri berbanding Najib yang hanya disokong oleh 47 peratus undi rakyat jelata.

"Kita" yang tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri itu hanyalah tepat mewakili Mahathir dan penyokong UMNO saja. Itupun jumlahnya ketika ini mungkin lebih kecil daripada 47 peratus.


Posted & copy by RAKYAT MARHAEN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.