Berikutan
tindakan pemimpin mahasiswa Universiti Malaya, Fahmi Zainol menjemput
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menyampaikan pidatonya di universiti
itu beberapa minggu lalu yang kemudian menimbulkan kontroversi dan
ketegangan, beliau kini menerima satu demi satu tekanan dalam hidup dan
pembelajarannya.
Rakan-rakan yang sependirian dengannya juga turut menerima tindakan yang
sama. Pidato Anwar yang menyebabkan berlakunya rempuhan pagar di UM
nyata telah mengundang rasa kurang senang pentadbiran universiti itu.
Beberapa hari selepas pidato itu, beliau dan lapan lagi rakannya telah
dihadapkan sehingga sembilan pertuduhan disiplin yang memungkinkan
kesemuanya digantung atau dibuang daripada universiti. Kes itu masih
menunggu perbicaraan.
Tindakan menggantung dan membuang mereka, sekiranya diputuskan nanti,
tentunya merupakan sesuatu yang keras dan tidak seharusnya berlaku demi
masa depan mereka kerana sebahagian besarnya sudah berada di tahun akhir
pengajian.
Kenapakah pihak UM tidak boleh berlembut dan bertolak-ansur dengan
mengadakan pertemuan dan perbincangan, sebaliknya terus mengutus surat
untuk mengambil tindakan disiplin?
Pihak UM tidak seharusnya mengabaikan fakta bahawa kumpulan pelajar ini
juga kemudian menjalankan tanggungjawab murni dengan membawa nenek
Wahida dari Kampung Cubadak ke universiti itu dan mengadakan kutipan
derma membantu nasib malangnya?
Beberapa hari lalu pula, ketika Fahmi dan beberapa rakannya berada di
UMS di Sabah, mereka sekali lagi ditahan ketika ingin memberikan ucapan
bersama sekumpulan pelajar universiti itu. Pihak polis juga kemudian
menjalankan pemeriksaan ujian air kencing terhadap mereka. Ini jelas
keterlaluan dan seperti ingin mengugut mereka.
Terbaru ini dilaporkan pula Fahmi telah menerima surat tunjuk sebab
daripada JPA yang memintanya memberi penjelasan kerana menganjurkan
pidato Anwar Ibrahim itu.
Risiko yang sedang menantinya bukan saja biasiswanya bakal ditarik balik tetapi juga berdepan tuntutan gantirugi.
Atas semua tindakan yang dilakukan oleh pihak universiti dan kerajaan
terhadap Fahmi dan rakan-rakannya, tidak dinafikan ianya terlalu keras
dah seolah-olah menunjukkan sikap ingin bermusuhan secara berterusan
dengan mereka.
Kerajaan dan universiti seharusnya memahami bahawa mereka ini adalah
golongan muda yang tengah semarak jiwa merdeka dan idealismenya.
Meneruskan tindakan keras akan menyebabkan tindakbalas yang keras dan
berpanjangan juga, bukan saja daripada mereka yang terlibat tetapi juga
daripada majoriti kelompok orang muda lainnya.
Kerajaan akan dianggap tidak mahu memahami jiwa muda mereka. Kesilapan
mereka ini seharusnya diperbetulkan dengan pendekatan lemah-lembut dan
memujuk, bukannya dibalas dengan kekerasan.
Sebagaimana beberapa mahasiswa yang diambil tindakan keras sebelum ini
seperti Safwan Anang dan Adam Adli yang akhirnya menyebabkan mereka
menjadi ikon golongan muda, kerajaan sebaliknya tidak mendapat untung
apa-apa dengan menghukum dan menjauhi kedua-dua pelajar itu.
Adalah lebih bijaksana dan berhemah kiranya dalam isu Fahmi dan
rakan-rakannya ini, pihak universiti dan kerajaan mengadakan pertemuan
dan berbincang dengan mereka secara baik demi keuntungan kedua-dua belah
pihak. Mereka harus didekatkan dengan kerajaan melalui cara yang baik.
Setelah ketiadaan ikon anak muda yang pro kerajaan, menambah seorang
lagi idola yang bersikap sebaliknya bukanlah berita yang menggembirakan
untuk mempertahankan Putrajaya.
Masa depan mereka sebagai bakal pewaris kepimpinan dan tulang belakang
negara seharusnya lebih dihargainya, lebih-lebih lagi sebahagiannya
sudah berada di tahun akhir pengajian. Dengan mengadakan pertemuan,
perbincangan dan saling tolak ansur juga dapat menunjukkan kerajaan
benar-benar menghargai tenaga dan peranan golongan muda ini sebagaimana
yang kerap dilaung-laungkan selama ini.
Dalam hal ini, kerajaan seharusnya berperanan sebagai bapa yang boleh
berbincang dan mendengar masalah anak-anak dan bukannya hanya tahu
memegang rotan untuk menghukum.
Sebaliknya, sikap keras, berunsur dendam dan cuba menunjuk kuasa akan
menjauhkan lagi golongan ini dengan kerajaan. Apakah kerajaan sudah lupa
bahawa bukan saja golongan muda menjadi penentu dalam pilihanraya akan
datang, bahkan pengundi baru yang pertama kali mengundi saja jumlahnya
seramai kira-kira 5 juta orang? (SH 11/11/2014)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.