Followers

Tuesday, June 9, 2015

Imbas kembali pemimpin profesional PAS yang disingkir OLEH ANISAH SHUKRY

 
Zack Ahmad's photo.

Selepas beberapa minggu dengan konflik dalaman dan kempen menyelar, muktamar PAS yang berakhir pada Sabtu melihat golongan pemimpin digelar "profesional" hampir kesemuanya disingkirkan kumpulan konservatif, menyapu bersih pemilihan parti paling kontroversi itu.

Antara yang kalah adalah wajah-wajah sering dihantar PAS ke forum dihadiri pelbagai kaum – "pemimpin progresif" dikatakan lebih mesra dengan bukan Islam, dan sering melakukan kawalan kerosakan parti kepada mereka – memusuhi PAS dan rancangannya melaksanakan rang undang-undang hudud Islam.

Salah seorang daripada mereka ialah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang sejak dahulu lagi mencuba mengetengahkan parti di luar undi Melayu-Islam sahaja PAS dengan mengasaskan Dewan Himpunan Penyokong PAS – sayap penyokong bukan Islam – yang kemudiannya menjadi Kongres Penyokong PAS pada 2010.

Sebagai pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, Mujahid mewujudkan slogan pilihan raya umum parti "PAS For ALL" yang membantu melembutkan imej keras parti Islam tersebut dan akhirnya mendapat undi bukan Islam, pada ketika MCA agresif dengan kempen anti-hudud.

Mujahid adalah anak kepada bekas Presiden PAS Yusof Rawa, yang terkenal dengan usahanya untuk merapatkan hubungan antara Islam dengan Kristian, dan menulis buku tentang pengalamannya bertajuk "Engaging Christianity: A travelogue of peace".

Pemimpin lantang Mohamed Hanipa Maidin yang di “boo” dan diejek pada muktamar PAS minggu lepas apabila mempertahankan kritikannya terhadap Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pernah dipukul tahun lepas semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS kerana menggelar presiden lemah dan berat sebelah.

Namun Hanipa yang juga seorang peguam merupakan orang penting dalam mendapatkan perhatian umum tentang hudud bagi PAS, dan menulis dua buku berkaitannya, “Undang Undang Hudud Perspektif Perbandingan” dan “Prima Facie”.

Beliau juga salah seorang daripada segelintir, ataupun satu-satunya pemimpin PAS yang menyatakan secara umum beliau percaya undang-undang jenayah Islam itu perlu ditangguhkan sehingga orang ramai dapat menerimanya.

Dalam kariernya, Hanipa merupakan peguam bagi bekas mejar tentera udara Zaidi Ahmad yang didakwa mahkamah tentera kerana mengeluarkan kenyataan kepada media tentang bagaimana dakwat kekal digunakan dalam Pilihan Raya Umum 2013 boleh dibasuh dengan mudah.

Sementara itu, ahli akademik Dr Dzulkefly Ahmad yang mengetuai Pusat Penyelidikan PAS, sering menjadi suara pendamai dan kesederhanaan di dalam parti, dan seperti Mujahid, berusaha menjadikan parti tersebut lebih bersifat sederhana.

Semasa perbalahan kontroversi atas kalimah Allah antara masyarakat Islam dan Kristian, bekas ahli Parlimen Kuala Selangor itu merupakan antara yang lantang mempertahankan penggunaan perkataan Arab tersebut bagi bukan Islam, disebabkan ia bukan eksklusif untuk umat Islam.

Dalam surat terbuka serta forum, Dzulkefly juga mempertahankan keputusan parti melaksanakan hudud di Kelantan, menyatakan sebab-sebab seperti demokrasi serta tanggungjawab kerajaan negeri untuk memenuhi kehendak rakyat.

Sementara itu, kekalahan Salahuddin Ayub dalam perebutan jawatan naib presiden PAS mengejutkan ramai pihak kerana beliau seorang yang tidak kontroversi dan memegang jawatan dalam PAS selama 3 dekad, termasuk jawatan ketua Pemuda.

Digelar sebagai "Mr Clean", Salahuddin dilihat sebagai jambatan antara profesional dan ulama tetapi tidak pernah berat sebelah kepada mana-mana golongan.

Seperti golongan ulama, beliau menyokong mana-mana ahli PAS yang mahukan "Islam liberal" patut dibuang, tetapi juga mempertahankan golongan "liberal" seperti Mujahid, Dzulkefly dan Khalid Samad dengan mengatakan mereka patut dibenarkan untuk menyuarakan pandangan mereka.

Bagaimanapun, semasa pemilihan PAS, Salahuddin juga dikaitkan dalam plot yang didakwa ingin menumbangkan presiden PAS.

Walaupun penyiasatan ke atas plot tersebut kian pudar kerana pihak penuduh gagal menghadiri soal siasat parti, khabar angin tentang konspirasi itu masih kekal dan mengakibatkan Salahuddin kehilangan undinya, bersama-sama pemimpin PAS yang mesra Pakatan Rakyat (PR).

Namun bukan semua profesional kalah dalam pemilihan minggu lepas; satu-satunya golongan bukan ulama yang bertahan ialah aktivis Felda Mazlan Aliman – namun beliau juga sedang mempertimbangkan melepaskan jawatannya selepas berasa "terganggu" akibat perpecahan parti.

Mazlan yang mengetuai badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), memperjuangkan hak penduduk dan mencipta nama bagi dirinya kerana melawan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH).

Semasa pemilihan pada Khamis, perwakilan dilihat seperti mengundi mengikut senarai calon disokong ulama atau sayap ulama parti yang kebanyakannya pro-Hadi dan berpengaruh ke atas hal ehwal parti.

Senarai tersebut (cai) disebarkan di perhimpunan Dewan Ulama.

Penggunaan senarai seperti itu dikatakan jarang berlaku dalam pemilihan PAS sebelum ini, di mana ulama, profesional dan aktivis dipilih bercampur dalam pemilihan Jawatankuasa Pusat.

Namun pemilihan PAS tahun ini diadakan semasa perbalahan dalaman atas perbezaan pendapat tentang kepimpinan Hadi dan hala tuju dalam mengimbangkan agenda Islamiknya dengan politik pragmatik. – 9 Jun, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.