Followers

Sunday, November 9, 2014

Selepas Retreat, PAS Sebulat Suara Akan Kekal Bersama Pakatan.

 
 
 
Retreat yang melibatkan AJK PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama hari ini mencapai kata sepakat sebulat suara akan terus kekal bersama Pakatan Rakyat. 

Keputusan itu dicapai selepas bersidang selama dua hari di sebuah hotel dekat Kuala Selangor dari pagi semalam hingga tengahari ini. 

"Kita akan keluarkan kenyataan rasmi segera," kata seorang pemimpin kanan PAS kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi sebaik sahaja selesai program itu. 

PAS mengadakan retreat itu ketika suasana parti itu berkecamuk dengan isu perbezaan pendapat di kalangan pimpinan dan ahlinya selepas isu pertukaran menteri besar Selangor dari Tan Sri Khalid Ibrahim kepada Mohamed Azmin Ali. 

Hampir semua pemimpinnya menyertai program itu, termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut membentangkan kertas utama. 

Hadi membentangkan kertas mengenai pelaksanaan Islam di negara demokrasi yang selalu menjadi isu antara PAS dengan rakannya dalam Pakatan khasnya DAP. Naib presiden PAS Salahudin Ayub pula menyampaikan kertas mengenai hubungannya dengan Pakatan Rakyat. 

"Kita mencapai satu kemajuan yang baik apabila segala perbezaan pendapat di kalangan pimpinan kita nyatakan dalam program ini dan dibincangkan dengan terbuka," kata seorang AJK PAS Pusat kepada The Malaysian Insider. 

Namun begitu, katanya samada keseluruhan isu boleh diselesaikan atau tidak terserah kepada semua yang hadir untuk menyampaikannya ke peringkat bawah. Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad pula berkata pertemuan kali ini mendengar semua harapan rakyat kepada Pakatan sebagai kerajaan akternatif dan akan menyelesaikan segala masalah yang timbul dengan rakan-rakannya. 

"Tentang Pakatan Rakyat, kami sekali lagi mengesahkan komitmen kami dengan kuat yang kami akan bersama dengan Pakatan Rakyat. 

"Kami akan bekerja sekuat mungkin untuk memperkukuhkan Pakatan walaupun apa yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata beliau sebagaimana dilaporkan oleh Malay Mail Online. 

Beliau dipercayai merujuk kepada perbicaraan Anwar di hadapan Mahkamah Persekutuan yang berakhir Jumaat lepas, tetapi keputusan mengenainya belum lagi dikeluarkan. 

Mahkamah itu akan mengeluarkan keputusannya kemudian, tanpa menetapkan tarikh. Jika Anwar kalah dan hukumannya kekal penjara lebih dari satu tahun atau denda melebihi RM2,000, Anwar akan kehilangan kerusi Permatang Pauh. 

Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan Anwar bersalah meliwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara walaupun Mahkamah Tinggi sebelum itu mendapati Anwar tidak bersalah. -


The Malaysian Insider
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.