Followers

Saturday, November 15, 2014

Mansuh Akta Hasutan perlu perkenan Majlis Raja-Raja, kata Majlis Perundingan Melayu Oleh Mohd Farhan Darwis


 
Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundangannya Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman bercakap kepada wartawan semasa sidang media tentang Akta Hasutan di Desa Pandan, Kuala Lumpur hari ini.

Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundangannya Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman bercakap kepada wartawan semasa sidang media tentang Akta Hasutan di Desa Pandan, Kuala Lumpur hari ini.

Di sebalik gesaan ramai pihak supaya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan, Majlis Perundingan Melayu Malaysia berpendapat ia harus dikekalkan.

Ini kerana, kata Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundangannya Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, ia memerlukan perkenan Majlis Raja-Raja jika hendak dimansuhkan.

Katanya, akta tersebut diperkenalkan bagi memelihara keharmonian dan kestabilan negara dan mengelak berlakunya insiden tidak diingini seperti ketegangan antara kaum.

"Tindakan meminda, memansuh atau memperkukuhkan Akta Hasutan perlu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja," katanya pada satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

"Akta itu tiada kaitan melindungi mana-mana agama dan kaum. Ia dikuatkuasakan ketika era kolonial. Kenapa pula British mahu mempertahankan Melayu?" katanya.

Beliau berkata tindakan memansuhkan akta itu juga bakal menyaksikan pemansuhan Seksyen 3(1)(f), yang pernah dipinda bertujuan melindungi hak istimewa orang Melayu, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Hak Kerakyatan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu, yang diklasifikasikan sebagai "perkara sensitif."

"Tindakan ini perlu selari dengan Artikel 159(5) Perlembagaan. Ini bermakna Parlimen perlu mendapatkan keputusan Majlis Raja-Raja sebelum memansuhkan Akta Hasutan 1948," katanya.

"Isunya di sini ialah, adakah patut kita membahaskan pemansuhan akta ini sedangkan tiada perundingan dengan Majlis Raja-Raja?" soalnya.

Aziz berkata tidak relevan cadangan memansuhkan Akta Hasutan dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional.

"Kalau hendak buat Akta Perpaduan, itu cerita lain, tetapi jangan sentuh Akta Hasutan," katanya.

Turut hadir pada sidang media itu bekas Ketua Polis Negara Tun Muhammed Hanif Omar, yang juga merupakan penasihat Majlis Perundingan Melayu.

Selain itu, Aziz juga berkata, Akta Hasutan seharusnya memasukkan peruntukkan berkaitan isu yang dibangkitkan beberapa pihak akhir-akhir ini berkenaan pemisahan Sabah dan Sarawak daripada Malaysia.

"Itu perkara sensitif, mahu memecahkan negara," katanya.

Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) membantah penggunaan Akta Hasutan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana mendakwa undang-undang itu digunakan bagi mendiamkan musuh politik mereka.

Antara pemimpin PR yang dikenakan tindakan mengikut akta berkenaan termasuk Setiausaha Agung PKR yang juga ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, ahli Parlimen Batu yang juga Naib Presiden PKR Chua Tian Chang, ahli Parlimen Shah Alam dari PAS Khalid Samad, Naib Presiden PKR N Surendran dan RSN Rayer dari DAP.

Juga ditahan mengikut akta sama ialah ahli akademik Universiti Malaya Prof Madya Dr Azmi Sharom dan aktivis mahasiswa Muhammad Safwan Anang@Talib dan Adam Adli Abd Halim.

Pembangkang turut mempersoalkan Putrajaya yang tidak mengambil tindakan terhadap Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut dengan mengajak orang ramai membakar Bible berbahasa Melayu yang mengandungi perkataan "Allah". – 15 November, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.